KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bahawa golongan M40 tidak akan dipinggirkan, malah terdapat beberapa inisiatif dalam Belanjawan 2021 yang dikhususkan untuk golongan tersebut.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan turut mendengar suara rakyat tentang inisiatif-inisiatif yang disalurkan kepada golongan itu.
“Kesemua inisiatif ini perlu dilihat dengan menyeluruh.
“Secara ringkasnya, usaha kerajaan untuk M40 adalah meningkatkan pendapatan boleh guna, mengekalkan pekerjaan dan membantu melonjakkan pendapatan sama ada melalui peningkatan kemahiran atau memudah cara bidang keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Laporan Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin) di sini semalam.
Menurut Tengku Zafrul, antara inisiatif untuk golongan M40 ialah bantuan pembayaran pinjaman bank yang dipermudah, yang mana orang ramai hanya perlu mengisytiharkan secara kendiri kepada bank tentang pengurangan pendapatan.
“Mereka tidak perlu mengemukakan dokumen untuk mendapatkan bantuan tersebut,” katanya.
Begitu juga, kerajaan menurunkan cukai pendapatan sebanyak satu mata peratus untuk mereka yang berpendapatan tahunan antara RM50,001 dan RM70,000 setahun.
“Pada masa sama, turut diturunkan adalah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada 11 peratus kepada sembilan peratus yang akan menambah aliran tunai bulanan golongan pekerja, dijangka bernilai RM9.3 bilion keseluruhannya.
“Yang paling penting, rakyat disokong dari segi pekerjaan dan peningkatan kemahiran. Melalui dana JanaKerja, RM3.7 bilion diperuntukkan bagi mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan.
“Ia akan dilaksanakan melalui program seperti insentif pengambilan pekerja Penjana Kerjaya, program peningkatan kemahiran dan latihan semula dan juga Program Subsidi Upah,” katanya. – UTUSAN