KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyalurkan RM30.8 bilion bantuan langsung dalam Belanjawan 2021 untuk kemudahan semua lapisan masyarakat.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan itu sekali gus menolak tanggapan pihak tertentu yang mempersoalkan usaha kerajaan seperti penambahbaikan Bantuan Prihatin Rakyat dan keberkesanan Program Subsidi Upah.
Beliau berkata, antara bantuan yang tersenarai dalam Belanjawan 2021 termasuk meningkatkan Kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin kepada RM1,000 sebulan berbanding RM450 sebulan.
“Kerajaan juga menyokong golongan mudah terjejas baharu seperti golongan isi rumah berpendapatan sederhana (M40) yang mengalami tekanan daripada segi pendapatan.
“Selain pelbagai penurunan dan pelepasan cukai, kerajaan juga memudahcara perbelanjaan penting seperti kos berkaitan perubatan dan kesihatan dengan pelepasan cukai sehingga RM8,000 bagi kategori tertentu.
“Yang penting, bantuan pembayaran balik pinjaman juga dilanjut dan dipermudah untuk M40 yang masih terjejas manakala hampir kesemua sokongan dari segi pendapatan dan pekerjaan juga boleh dimanfaatkan oleh golongan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Laporan Laksana Ke-30 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin).
Mengenai sektor pekerjaan, Tengku Zafrul berkata, komitmen dan usaha kerajaan dalam menjana 500,000 pekerjaan pada 2021 adalah menerusi pelbagai langkah berhubungkait yang perlu dilihat secara holistik.
Menurut Tengku Zafrul, tidak wajar setiap langkah dianalisis secara berasingan kerana semua langkah telah dirangka untuk saling melengkapi antara satu sama lain dalam usaha kerajaan menjana pekerjaan.
“Ini bukan sahaja dari segi Program Subsidi Upah (PSU) tetapi juga program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan yang dijangka menyokong 250,000 pekerjaan, Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran untuk 200,000 pelatih dan banyak lagi,” katanya.
Mengenai PSU, Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM18 bilion telah diperuntukkan tahun ini dengan RM12.3 bilion telah diluluskan bagi menyokong lebih 2.6 juta pekerja dan lebih 320,000 majikan setakat ini.
Beliau berkata, ia tidak termasuk bantuan kepada 200,000 pekerja melalui program pengambilan pekerja dan peningkatan kemahiran yang juga diperkenalkan sejak Mac lalu dengan keseluruhannya hampir tiga juta tenaga kerja telah dibantu.
“Dalam isu ini, kerajaan sentiasa responsif dengan keperluan semasa dengan daripada tempoh tiga bulan pakej Prihatin, PSU dilanjutkan selama tiga bulan semasa Prihatin PKS Tambahan dan seterusnya tiga bulan lagi semasa Penjana dan akhirnya tiga bulan sekali lagi semasa Kita Prihatin.
“PSU ini sebenarnya masih berjalan dan permohonan bagi PSU masih dibuka sehingga hujung Disember 2020,” katanya. – UTUSAN