KUALA LUMPUR: Nilai jualan sektor pembuatan negara pada September mencatatkan pertumbuhan 3.7 peratus kepada RM121.2 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.
Dalam masa yang sama, nilai jualan itu turut merekodkan peningkatan 2.3 peratus berasaskan bulan ke bulan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan tahun ke tahun bagi nilai jualan pada bulan September 2020 dipacu peningkatan dalam produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain sebanyak 14.3 peratus; produk makanan, minuman dan tembakau (14.2 peratus) serta produk peralatan elektrik dan elektronik berjumlah 7.2 peratus.
Katanya, jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan September adalah seramai 2.198 juta, berkurang 2.3 peratus berbanding 2.249 juta September tahun lalu.
“Jumlah gaji dan upah dibayar adalah berjumlah RM7.2 bilion, merosot 1.7 peratus atau RM124.3 juta pada September berbanding bulan sama tahun sebelumnya.
“Nilai jualan per pekerja turut meningkat 6.1 peratus kepada RM55,151 berbanding bulan sama tahun 2019 dengan purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,283 pada bulan September 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, nilai jualan sektor pembuatan pada suku ketiga 2020 meningkat 2.4 peratus kepada RM358.8 bilion berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya.
“Peningkatan ini didorong oleh kenaikan produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain berjumlah 14.1 peratus; produk makanan, minuman dan tembakau (13.8 peratus) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (7.2 peratus).
“Bilangan pekerja dan gaji serta upah masing-masing menyusut 2.3 peratus dan 2.7 peratus pada suku tahun ketiga 2020,” katanya. – UTUSAN