KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Group Berhad, Datuk Izzaddin Idris telah dilantik menganggotai Ahli Lembaga GSMA bagi tempoh dua tahun bermula Januari 2021 hingga Disember 2022.
Axiata dalam kenyataan memberitahu, GSMA merupakan organisasi global yang mewakili kepentingan pengendali mudah alih seluruh dunia dengan menyatukan lebih daripada 750 pengendali dan hampir 400 syarikat ekosistem mudah alih seluruh dunia.
Menurut Axiata, antara tanggungjawab GSMA termasuk tugas advokasi menyatukan masyarakat dan sektor swasta menangani beberapa cabaran paling mendesak termasuk memperluas kemasukan dan literasi digital, meningkatkan akses spektrum, memodenkan peraturan, melindungi privasi dan menyelaraskan industri pada tindakan iklim.
Ahli Lembaga GSMA merangkumi 26 ahli daripada syarikat operator terbesar dunia dan pengendali bebas lebih kecil dengan jangkauan global yang masing-masing memberi pandangan dan perspektif berbeza bagi mencapai arah baharu industri mudah alih sesuai dengan landskap operasi baharu seluruh dunia.
Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Izzaddin yang bakal dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Axiata berbangga apabila diberi peluang berkhidmat dan menyumbang ke arah kemajuan industri menerusi pelantikan ke dalam Lembaga GSMA.
Katanya, pelantikan itu mencerminkan keyakinan berterusan dan pengiktirafan yang telah diusahakan GSMA melangkaui 11 negara ASEAN di mana syarikat infrastruktur, perniagaan digital dan telekomunikasi digital beroperasi.
“Kami menyedari peranan industri telekomunikasi telah berkembang pesat daripada sekadar penyedia penyambungan kepada pertumbuhan digital bagi membangunkan semula ekonomi dan masyarakat global.
“Selain tanggungjawab bekerjasama dengan kerajaan dan perniagaan ke arah pemulihan digital, satu perkara penting lain adalah untuk memastikan kelestarian model perniagaan untuk terus memberi manfaat kepada pelanggan dan komuniti dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN