IPO: Ant Group masih berpeluang tersenarai - Utusan Malaysia

IPO: Ant Group masih berpeluang tersenarai

Penganalisis dan pelabur me­lihat, serangan saat akhir oleh penguatkuasa China sebagai cubaan untuk mengurangkan pengaruh pengasas Ant Group, Jack Ma. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Penggantungan saat akhir tawaran awam permulaan (IPO) Ant Group dilihat hanya bersifat penangguhan, bukan menutup terus peluang syarikat itu membuat penampilan sulungnya dalam pasaran saham.

Penyenaraian syarikat gergasi teknologi kewangan bernilai AS$37 bilion (RM154.22 bilion) itu akan tetap berlaku walaupun penilaian dan prospek pertumbuhannya dijangka akan terkesan.

Penganalisis dan pelabur me­lihat, serangan saat akhir oleh penguatkuasa China sebagai cubaan untuk mengurangkan pengaruh pengasas Ant Group, Jack Ma namun menjangkakan syarikat itu akan tetap disenaraikan di Hong Kong dan Shanghai seperti dirancang.

“Perniagaan Ant Group mungkin akan dikekang oleh beberapa peraturan kewangan baharu. Kesannya, harga IPO yang dilancarkan semula itu mungkin direndahkan,” kata Pengarah Urusan Orient Capital Research, Andrew Collier.

Ant Group cuba untuk menonjolkan diri sebagai firma teknologi berbanding sebagai sebuah gergasi kewangan dan penilaiannya sehingga kini banyak dimanfaatkan dari fokusnya terhadap teknologi.

Namun, pihak berkuasa China tidak selesa dengan sebahagian daripada empayarnya yang berselerak, terutama perniagaan pinjaman wang dalam taliannya yang menyumbang hampir 40 peratus daripada keseluruhan hasil Ant Group pada separuh pertama tahun ini.

Di bawah draf peraturan yang diterbitkan Isnin lalu, pemberi pinjaman dalam talian di China perlu mengeluarkan lebih banyak modal sendiri untuk pinjaman; peraturan yang dijangka menukar model perniagaan Ant Group.

Penganalisis turut memberitahu, anak syarikat pinjaman wang Ant Group, Huabei dan Jiebei juga tidak lagi dibenarkan menjual produk pengurusan kekayaan.

Suruhanjaya Penguatkuasaan Sekuriti China (CSRC) Rabu lalu berkata, perubahan peraturan yang terbaharu akan memberi impak besar kepada struktur perniagaan dan model keuntungan Ant Group.

Mereka turut berkata, penggantungan IPO tersebut adalah satu tindakan bertanggungjawab untuk kedua-dua pelabur dan pasaran. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya