KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang bersifat inklusif dan mengutamakan kesejahteraan rakyat diyakini mampu merangsang dan meningkatkan pemulihan sosioekonomi.
Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berpandangan pelbagai insentif yang diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa pembentangan belanjawan itu boleh meningkatkan ekonomi negara ke arah pertumbuhan mampan.
Menurut NCIA, lebih 36,000 peserta juga akan dapat memanfaatkan Program Modal Insan (HCP) NCIA tahun hadapan di samping usaha kerajaan memperbanyak peluang pekerjaan melalui program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Jomkerja@NCER dan JomNiaga@NCER.
Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, NCIA menganggap pakej insentif khas bernilai RM1 bilion untuk industri teknologi bernilai tinggi seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri aeroangkasa serta kelompok industri di Taman Industri Batu Kawan, Pulau Pinang dan Kulim, Kedah sebagai satu langkah tepat memastikan kelangsungan perniagaan.
Katanya, insentif itu juga mampu memperkaya ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) di wilayah tersebut sejajar dengan visi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) untuk menjadi wilayah ekonomi dan pusat teknologi bertaraf dunia serta memperkukuh inisiatif kampus tunggal antara Pulau Pinang, Kedah dan Perak sebagai ekosistem teknologi holistik.
Beliau berkata, NCIA juga berpendapat Dana Teknologi Tinggi bernilai RM500 juta dan kerangka sistem percukaian baharu akan membolehkan negara dan wilayah utara terus berdaya saing serta mengekalkan rantaian bekalan dan ekosistem penyelidikan.
“Peruntukan khas RM780 juta untuk lima koridor ekonomi wilayah untuk pengembangan projek ekonomi strategik pula mencerminkan komitmen kerajaan meneruskan agenda pembangunan wilayah dan mengurangkan ketidakseimbangan wilayah.
“Untuk tujuan ini, Zon Pembangunan Khas NCER di Yan dan Baling, Kedah akan membantu menjadi pemangkin pembangunan di kawasan yang kurang maju untuk membawa peningkatan sosioekonomi kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Tengku Zafrul membentangkan Belanjawan 2021 dengan tema Teguh Kita, Menang Bersama di Dewan Rakyat, Jumaat lalu. – UTUSAN