KUALA LUMPUR: Kadar dasar semalaman (OPR) dijangka kekal pada kadar semasa 1.75 peratus sekurang-kurangnya sehingga awal tahun hadapan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 20 Januari 2021.
Dalam masa yang sama, kadar inflasi turut dijangka menguncup pada kadar -1.0 peratus tahun ini selepas indeks harga pengguna (IHP) kekal menurun pada Oktober iaitu penguncupan bulan kelapan berturut-turut.
Walaubagaimanapun, penganalisis CGS-CIMB, Michelle Chia berkata, tekanan deflasi berkemungkinan akan berterusan pada bulan ini.
Menurut Michelle, ia ekoran kenaikan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang membantu menyederhanakan peningkatan harga minyak apabila harganya menurun antara 2.5 hingga 2.9 peratus manakala harga runcit diesel naik satu peratus.
“Kenyataan MPC menunjukkan bahawa pendirian dasar monetari kekal neutral dengan BNM melihat menjangkaui kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang agak longgar dan pemulihan permintaan global serta sokongan fiskal sehingga 2021.
“Kami mengulangi ramalan OPR adalah pada 1.75 peratus dengan tiada lagi pengurangan sejajar unjuran pemulihan kukuh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada -5.0 peratus tahun ini kepada 7.5 peratus tahun hadapan.
“Kami turut menganggarkan pemulihan inflasi utama daripada -1.1 peratus pada 2020 kepada 1.6 peratus tahun ke tahun pada 2021 di tengah-tengah penurunan kesan asas harga minyak,” katanya dalam nota kajian.
Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi utama bagi Oktober mencatatkan penurunan 1.5 peratus kepada 120.2 daripada 122 pada bulan sama tahun lalu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penguncupan IHP keseluruhan dipengaruhi oleh penurunan indeks pengangkutan sebanyak -10.2 peratus; perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-3.0 peratus) dan pakaian serta kasut berjumlah -0.4 peratus yang menyumbang 41.6 peratus daripada keseluruhan wajaran.
BNM mengekalkan OPR pada tahap 1.75 peratus buat kali kedua tahun awal bulan ini dengan pertumbuhan bagi 2020 dijangka berada dalam julat unjuran di antara -3.5 hingga -5.5 peratus dan kegiatan ekonomi tahun hadapan dijangka bertambah baik. – UTUSAN