Indeks nilai eksport positif - Utusan Malaysia

Indeks nilai eksport positif

MALAYSIA terus merekodkan jumlah dagangan yang positif di sebalik penularan pandemik Covid-19. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Indeks nilai seunit eksport negara mencatatkan pertumbuhan positif apabila merekodkan kenaikan 0.7 peratus pada bulan September daripada 109.7 mata kepada 110.5 mata.

Dalam masa yang sama, indeks nilai seunit import pula merosot pada kadar 0.7 peratus daripada 113.4 mata kepada 112.6 mata dalam bulan September.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan indeks nilai seunit eksport itu didorong oleh lonjakan indeks minyak galian berjumlah 5.3 peratus di samping indeks minyak, lemak binatang dan sayur-sayuran pada kadar serupa.

Menurut Mohd. Uzir, indeks volum eksport turut menokok 11.6 peratus daripada 135.6 mata kepada 151.3 mata yang disumbangkan oleh peningkatan indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 20.6 peratus; pelbagai barang keluaran kilang (14.3 peratus) dan bahan kimia (13.3 peratus).

“Indeks volum eksport pelarasan bermusim mencatatkan peningkatan 15.4 peratus daripada 134.5 mata kepada 155.2 mata.

“Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit eksport jatuh 5.0 peratus manakala indeks volum eksport naik 19.6 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Menyentuh mengenai indeks nilai seunit import, Mohd. Uzir berkata, kemerosotan yang dicatatkan adalah disebabkan kejatuhan indeks minyak galian menguncup sebanyak 5.1 peratus; alat jentera dan kelengkapan (-0.5 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (-0.2 peratus).

“Walau bagaimanapun, indeks volum import naik 2.3 peratus kepada 135.2 mata berbanding 132.2 mata pada Ogos 2020.

“Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan indeks barang-barang keluaran kilang berjumlah 10.2 peratus; alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (5.5 peratus) dan bahan kimia sebanyak 4.4 peratus dengan indeks volum import pelarasan bermusim pada September lalu turut tumbuh 6.1 peratus daripada 127.5 mata kepada 135.3 mata,” katanya.

Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai import turut susut 4.1 peratus manakala indeks volum import menokok 0.6 peratus.

Jabatan Perangkaan turut melaporkan terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 1.4 peratus bulan ke bulan kepada 98.1 mata berbanding 96.7 mata.

Berasaskan tahun ke tahun, terma perdagangan negara masih mencatatkan penyusutan dengan 0.9 peratus daripada 99 mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN