Huawei jual Honor AS$15.2 bilion - Utusan Malaysia

Huawei jual Honor AS$15.2 bilion

Penjualan jenama Honor dijangka memberi peluang kepada Huawei untuk mengukuhkan jenamanya di pasaran global. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHENZHEN: Huawei Technologies Co. Ltd. terpaksa menjual jenama Honor kepada sebuah konsortium dianggotai lebih 30 agensi dalam usaha mengekalkan jenamanya sendiri.

Menurut Reuters, Huawei dilaporkan bakal menjual jenama tersebut dengan harga AS$15.2 bilion (RM62.42 bilion) kepada konsortium diterajui pengedar telefon bimbit iaitu Digital China dan kerajaan Shenzhen.

Penjualan itu dibuat setelah Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan kepada Huawei atas alasan ancaman keselamatan negara. Dakwaan tersebut dinafikan oleh syarikat teknologi China itu.

Sumber berkata, kerajaan AS tiada alasan kukuh untuk turut mengenakan sekatan ke atas jenama Honor selepas ia `berpisah’ daripada Huawei.

Huawei dilaporkan tidak akan mengambil sebarang keuntungan daripada syarikat baharu yang akan membeli jenama Honor itu.

Jualan tersebut dikatakan seperti mewakili pelaburan berasaskan pasaran bagi melindungi rantaian industri jenama Honor.

Namun begitu, perubahan hak milik tidak akan memberi kesan terhadap pembangunan jenama berkenaan.

Honor menjual telefon pintar melalui laman web dan peruncit pihak ketiga di China. Jenama itu juga berdepan saingan sengit daripada jenama lain seperti Xiomi Corp dan Vivo yang terkenal dengan telefon pintar mampu milik di pasaran.

Honor turut menjual produknya di Asia Tenggara dan Eropah. Menurut Huawei, jenama itu memasarkan lebih 70 juta unit telefon pintar setahun ke seluruh dunia.

Antara syarikat yang tersenarai sebagai bakal pembeli jenama itu termasuk syarikat produk elektronik Suning.com selain beberapa syarikat pelaburan milik kerajaan Shenzhen, negeri kelahiran Huawei.

Menurut sumber, Honor turut berusaha mendapatkan pelabur selain rancangan untuk disenaraikan pada masa hadapan.

Menurut Naib Presiden Canalys, Nicole Peng, menjual Honor akan memberi Huawei ruang untuk fokus kepada perniagaan premiumnya selain terus memberi keutamaan dalam membangunkan HarmonyOS.

“Penjualan tersebut akan membantu kelangsungan Huawei dan berkemungkinan boleh membeli semula Honor satu masa nanti,” kata Will Wong, penganalisis di IDC. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN