Hong Leong lulus 98 peratus - Utusan Malaysia

Hong Leong lulus 98 peratus

Domenic Fuda
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hong Leong Bank (HLB) dan Hong Leong Islamic Bank Berhad (HLIB) mengumumkan telah meluluskan lebih daripada 98 peratus permohonan yang diterima bagi Pelan Bantuan Pelepasan Pembayaran (PRAP) sejak moratorium automatik ditamatkan.

Dalam masa yang sama, HLB turut memberitahu akan meneruskan bantuan menerusi PRAP dengan menyediakan proses permohonan lebih mudah kepada pelanggan yang terkesan dengan Covid-19.

Menurut HLB, ia juga merangkumi pelanggan yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutama kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) serta pe­langgan perusahaan mikro.

“HLB yakin proses permohonan yang lebih mudah ini akan mempercepat maklum balas kepada pelanggan yang telah memohon untuk mendapat bantuan lanjutan.

“Permohonan bermula semalam sehingga 30 Jun 2021 sekali gus memberi keselesaan kepada pelanggan apabila mengetahui pihak bank terus bersedia memberi bantuan sekiranya mereka memerlukan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Di bawah kategori B40PRAP, individu atau pasangan yang dikategori sebagai B40 dan telah mendaftar di bawah Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) boleh memilih sama ada penangguhan pinjaman selama tiga bulan atau pengurangan 50 peratus ansuran bulanan selama enam bulan.

Selain itu, HLB menawarkan pengurangan 25 peratus selama enam bulan buat pelanggan yang ingin menguruskan pembayaran dengan mengurangkan faedah tambahan terkumpul.

Bagi perusahaan mikro termasuk perniagaan daripada semua sektor dengan perolehan jualan tahunan kurang RM300,000 atau mempunyai kurang lima orang pekerja sepenuh masa, turut boleh membuat permohonan di bawah kategori MPRAP.

Perusahaan yang layak boleh memohon penangguhan pinjaman tiga bulan atau pengurangan 50 peratus ansuran bulanan selama enam bulan dengan hanya bukti menunjukkan pendapatan berkurangan disebabkan Covid-19 dan PKPB.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan HLB, Domenic Fuda berkata, pihaknya sedar keperluan memberi maklum balas pantas dan cekap bagi memproses permohonan pelanggan.

“Ia sangat penting bagi memastikan mereka bukan sahaja mempunyai aliran tunai bagi menyokong keluarga dan memastikan operasi perniagaan berjalan tetapi juga memberi kelegaan apabila mengetahui bantuan kewangan sentiasa tersedia dalam tempoh mencabar ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya