HLF sedia biasiswa RM3.5 juta - Utusan Malaysia

HLF sedia biasiswa RM3.5 juta

Sebahagian penerima biasiswa Yayasan Hong Leong di bawah HLFMSP 2020 dan kakitangan yayasan itu, bergambar selepas menerima biasiswa mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yayasan Hong Leong (HLF) melalui Hong Leong Foundation Merit Scho­larship Programme (HLFMSP) memperuntukan biasiswa berjumlah RM3.5 juta pada tahun ini, membabitkan 66 penerima iaitu dua kali ganda berbanding sebelumnya.

Pengarah Eksekutif HLF, Quek Sue Yian berkata, pandemik Covid-19 telah menyebabkan ramai rakyat Malaysia mengalami masalah kewangan sehingga mendorong pihaknya meningkatkan jumlah dan pe­nerima biasiswa terbabit.

Beliau berkata, HLF menganggap pendidikan adalah kunci kepada pembangunan diri seorang pelajar pada masa hadapan dan mengalu-alukan pelajar daripada pelbagai latar belakang memohon biasiswa tersebut.

“Seperti program pendidikan kami yang lain, HLFMSP memberi peluang kepada pelajar untuk mengejar impian mereka.

“Lebih-lebih lagi pada tahun ini, pandemik Covid-19 telah memberi impak yang besar kepada dunia. Oleh sebab itu, HLF telah meningkatkan jumlah penerima biasiswa dengan harapan dapat membantu orang muda pada waktu yang sukar ini,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sejak ditubuhkan pada 1997 sehingga kini, HLFMSP telah menganugerahkan biasiswa berjumlah RM40.6 juta kepada 1,111 pelajar.

Biasiswa tersebut terbuka kepada pelajar yang mengikuti pengajian sepenuh mana di peringkat sarjana muda, diploma di mana-mana universiti awam dan kolej swasta yang diiktiraf di dalam negara.

Dalam pada itu, seorang penerima, Ainaa Farhanah Amali berkata, sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) yang mempunyai penyakit Atrofi Otot Tulang Belakang, tidak mudah untuknya mendapatkan biasiswa bagi menyambung pengajian dalam bidang seni.

“Bagaimanapun saya bersyukur ditemukan dengan HLFMSP. Selepas terpilih antara penerima, impian saya menjadi kenyataan apabila berjaya melanjutkan pengajian di First City University College,” katanya.

Ainaa Farhanah, penerima biasiswa pada 2013 telah menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda seterusnya berjaya memiliki jenama sendiri iaitu Conteng by Ainaa.

Seorang lagi penerima, Toh Chin Yuan, turut berkongsi kegembiraan berjaya menamatkan pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan antarabangsa dari DISTED College Pulau Pinang pada 2013 sehingga berjaya menjadi perunding kesihatan.

“Saya bertuah kerana mendapat sokongan berterusan daripada pensyarah, rakan-rakan dan pengurusan Yayasan. Dengan ijazah dalam perniagaan, saya telah meneruskan kerjaya dalam industri kesihatan dan menjadi perunding kesihatan di bawah Kesatuan Australia Nutrition & Wellness,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN