Hibiscus Petroleum raih RM203.6 juta - Utusan Malaysia

Hibiscus Petroleum raih RM203.6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hibiscus Petroleum Berhad mengumumkan telah meraih RM203.6 juta melalui penerbitan syer keutamaan boleh tukar boleh tebus (CRPS) islamiknya.

Syer itu yang merupakan CRPS terbesar diterbitkan tahun ini juga telah disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 9 pagi ini.

Pengerusinya, Zainul Rahim Mohd. Zain berkata, syarikat itu menyedari kepentingan untuk terus kekal menjadi kaunter patuh syariah di Bursa Malaysia.

“Kami faham bahawa kami berada dalam kedudukan untuk memenuhi syarat bagi CRPS yang dikeluarkan patuh syariah sejak awal proses lagi, dan pihak pengurusan berazam untuk mendapatkan sokongan daripada Suruhanjaya Sekuriti dengan panduan daripada Penasihat Syariah kami, CIMB Islamic Bank Berhad,” katanya.

Pelaksanaan CRPS pelbagai tranche itu diumumkan pada 9 September lalu dan diluluskan oleh pemegang saham syarikat tersebut pada 3 November.

Tranche-tranche CRPS tersebut disaizkan untuk meminimumkan kesan dilutif kepada pemegang saham sedia ada dengan mengambil kira keperluan institusi kewangan yang menyokong komponen hutang daripada pelbagai bidaan yang dipertimbangkan untuk diserahkan kepada syarikat.

Sementara itu, The Edge melaporkan, syarikat itu akan menggunakan sebahagian daripada hasil CRPS tersebut untuk membida aset-aset di Asia Tenggara.

Menurut Pengarah Urusannya, Dr. Kenneth Gerard Pereira, hasil itu akan digunakan untuk membiaya sebahagian daripada pemerolehan aset minyak dan gas huluan yang berkualiti tinggi dan bernilai tinggi.

Beliau berkata, aset-aset itu dijangka menghasilkan sekurang-kurangnya 12 peratus kadar pulangan dalaman.

“Melihat kepada unjuran harga minyak dan melihat ke mana ia akan pergi selain peluang-peluang yang dalam pasaran, sasaran kami adalah untuk membida aset dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Sudah ada beberapa aset yang boleh dibida di pasaran sekarang dan kami sudah terlibat dengan prosesnya,” katanya seperti dipetik The Edge. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN