PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka memperoleh hasil kutipan levi keuntungan luar biasa (windfall profit levy) daripada sawit sebanyak RM348 juta tahun ini berbanding hanya RM256,000 pada 2019.
Ia berikutan kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) yang mencecah RM3,424 per tan pada Jumaat lalu, tertinggi dalam tempoh lapan tahun, selain pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) dari estet sepanjang tahun ini.
Kenaikan harga MSM itu dijangka turut menyumbang kenaikan harga BTS kepada RM727 per tan.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, harga itu berdasarkan Kadar Perahan Minyak (OER) untuk gred 20 peratus pada 6 November lalu berbanding RM408 setiap tan pada 12 Mei tahun ini.
Katanya, trend harga MSM itu menunjukkan usaha-usaha dilakukan kerajaan berjaya meningkatkan harga minyak sawit.
“Sebagai panduan, levi dikenakan pada kadar tiga peratus bagi harga kelapa sawit melebihi RM2,500 setiap tan di Semenanjung dan 1.5 peratus bagi harga kelapa sawit melebihi RM3,000 setiap tan di Sabah dan Sarawak.
“Dalam usaha merancakkan lagi pembangunan industri sawit, kementerian sedang mengkaji struktur keseluruhan percukaian dan ses dalam sektor perladangan komoditi ini,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin berkata, kenaikan harga sawit bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil serta estet tetapi dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi demi kemakmuran negara.
Menurut beliau, harga MSM yang melepasi paras RM3,000 setiap tan dijangka terus meningkat dipacu sentimen pasaran positif, jangkaan penurunan stok dan peningkatan eksport serta perkembangan ekonomi dan politik global pada penghujung tahun ini.
Jelas beliau, harga minyak sawit di pasaran ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran, selain faktor asas dan sentimen pasaran turut mempengaruhi pergerakan harga MSM di pasaran.
Harga MSM telah menunjukkan trend peningkatan yang begitu ketara, melonjak kepada RM3,424 setiap tan pada 6 November lalu berbanding paras terendahnya iaitu RM2,021.50 setiap tan pada 12 Mei tahun ini, meningkat sebanyak RM1,402.50 atau 69.4 peratus. – UTUSAN