Harga rumah kekal tidak mampu milik? - Utusan Malaysia

Harga rumah kekal tidak mampu milik?

GALAKAN pembelian rumah pertama dapat memberi impak menyeluruh kepada ekonomi kerana industri hartanah mempunyai kesan penggandaan yang kritikal kepada banyak industri lain. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Harga hartanah dalam negara disifatkan masih berada pada tahap tidak mampu milik dengan majori­ti pembeli mempunyai bajet antara RM250,000 hingga RM499,999.

Menerusi tinjauan sentimen pasaran hartanah yang dilakukan CGS-CIMB Research, sebahagian besar daripada 1,037 responden beranggapan harga rumah masih mahal walaupun selepas penularan pandemik Covid-19.

CGS-CIMB memberitahu, dapatan itu sejajar dengan pandangan Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa harga kediaman di Malaysia kekal tidak mampu milik walaupun harga purata transaksi rumah tahun lalu mencatatkan penurunan seperti dilaporkan dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan separuh kedua 2019.

Menurut CGS-CIMB, jumlah transaksi hartanah kediaman bagi separuh pertama 2020 mendapati harga rumah kurang RM500,000 meliputi 84 peratus daripada volum transaksi keseluruhan.

“Kami yakin hartanah bawah RM500,000 semakin mendapat permintaan tinggi dengan kebanyakan pemaju mula membina unit kediaman lebih murah bagi menarik minat pembeli,” katanya dalam nota kajian semalam.

Dalam pada itu, tinjauan itu mendapati 58 peratus responden menunjukkan minat untuk membeli hartanah baru dilancarkan diikuti 29 peratus bagi pasaran sekunder dan baki 13 peratus lagi pasaran lelong.

Katanya, hal demikian mungkin disebabkan kos permulaan yang rendah, rebat menarik ditawarkan pemaju di samping insentif menerusi kempen pemilikan rumah (HOC).

“Sebanyak 57.1 peratus responden menunjukkan minat untuk membeli kediaman hartanah rumah teres, 26.5 peratus kediaman bertingkat, 6.7 peratus lot kedai/ruang runcit komersial, tanah kosong (6.6 peratus), hartanah industri (2.3 peratus) dan ruang pejabat komersial (0.8 peratus),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN