NEW YORK: Goldman Sachs Group Inc. bersedia untuk pembuangan pekerja kali kedua, tiga bulan selepas syarikat perkhidmatan kewangan itu membuang kira-kira 400 kakitangannya sebelum ini.
Perkara tersebut dimaklumkan sumber yang rapat dengan syarikat itu kepada Reuters, kelmarin.
Syarikat itu mengumumkan “pemberhentian kerja yang sederhana” pada September lalu selepas menangguhkannya pada awal tahun lalu kerana pandemik Covid-19.
Goldman sedang mencari jalan untuk mengurangkan kos bagi mencapai sasaran memotong perbelanjaan operasi sehingga AS$1.3 bilion (RM5.3 bilion) menjelang tiga tahun akan datang.
Perkara tersebut diumumkan pada Januari lalu sebagai sebahagian daripada rombakan strategik yang lebih luas.
Pusingan pemberhentian kerja kali ini dijangka melebihi jumlah 400 pekerja seperti sebelum ini, lapor Bloomberg kelmarin.
Laporan tersebut turut menjangkakan eksekutif Goldman akan melaksanakannya dengan lebih meluas pada tahun hadapan, tindakan yang boleh menjadikannya sebagai pembuangan pekerja paling signifikan dalam sejarah syarikat itu.
Dalam e-mel kepada Reuters, Goldman mengulangi kenyataannya pada awal tahun ini bahawa syarikat itu sudah membuat keputusan untuk terus bergerak ke hadapan dengan “jumlah pembuangan pekerja yang sederhana.”
Sumber terdekat memberitahu, masih belum pasti sama ada syarikat itu akan meneruskan pembuangan pekerja pada tahun hadapan.
Selain memberhentikan pekerja, Goldman turut berusaha mengurangkan perbelanjaan dengan menempatkan pekerja di lokasi yang kurang ‘mahal’, seperti di Salt Lake City, Dallas dan Bengaluru, India.
Perkara tersebut dinyatakan Ketua Pegawai Kewangannya, Stepehen Scherr awal tahun ini. – AGENSI