Geran Khas Prihatin: 304,000 pemohon layak dengan nilai RM912 juta - Utusan Malaysia

Geran Khas Prihatin: 304,000 pemohon layak dengan nilai RM912 juta

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa hampir 304,000 pemohon perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro layak menerima Geran Khas Prihatin (GKP) 2.0.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi kenyataan di sini berkata, jumlah itu melebihi sasaran dengan melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM912 juta.

Kerajaan ujar beliau, pada mulanya hanya menetapkan sejumlah 200,000 pemohon PKS mikro akan memohon GKP 2.0 dengan peruntukan asalnya cuma sebanyak RM600 juta.

“Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan ketika permohonan mulai 30 November tetapi semakan kelulusan boleh dibuat bermula 27 November,” katanya.

Pemohon terbabit jelas Tengku Zafrul, boleh tahu status kelayakan mereka menerusi portal khas GKP dibangunkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) iaitu https://gkp.hasil.gov.my.

Beliau menambah, jumlah keseluruhan penerima GKP 1.0 dan GKP 2.0 yang diluluskan adalah hampir 849,000 dengan peruntukan bantuan kewangan sebanyak RM2.55 bilion.

“Setiap permohonan diterima LHDN telah disemak silang dengan data agensi berkaitan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.

Ini tegas Tengku Zafrul, bagi memastikan PKS mikro yang benar-benar layak dan memenuhi syarat ditetapkan dengan tempoh permohonan GKP 2.0 dibuka dari 1 hingga 31 Oktober lalu.

GKP 2.0 dibuka semula oleh pihak kerajaan di bawah pakej rangsangan ekonom Kita Prihatin secara bayaran one-off berjumlah RM3,000 dan pemohon tidak pernah menerima GKP 1.0.

“Ia bertujuan bagi meringankan beban kewangan perniagaan ekoran impak wabak Covid-19 dan meningkatkan produktiviti demi kelangsungan PKS mikro di seluruh negara,” jelas beliau.

Tengku Zafrul menambah, lebih 545,000 pemohon GKP 1.0 telah menerima manfaat inisiatif itu dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM1.63 bilion yang dibayar pada Jun lepas. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN