KUALA LUMPUR: Focus Dynamics Group Berhad mengumumkan jalinan kerjasama dengan Saudee Group Berhad bagi pengeluaran kios burger robotik pertama di Malaysia sekali gus menandakan penerokaan dalam operasi makanan dan minuman (F&B) robotik.
Pengarah Eksekutif Focus Dynamics, Benson Tay Ben Seng berkata, teknologi robotik adalah inovasi generasi baharu yang bakal menerajui industri F&B dengan penggunaannya telah bermula seluruh dunia di restoran, bar dan juga rantaian bekalan.
Katanya, penggunaan robotik dalam operasi perniagaan F&B juga mampu meningkatkan kecekapan di samping mengurangkan kecurian dan menjadi faktor inovatif ketika berhadapan pelanggan.
“Dengan pandemik Covid-19 telah menjadi isu global, aspek penjarakan fizikal dan mengurangkan sentuhan telah membawa penerapan teknologi robotik lebih pantas ke dalam industri F&B.
“Focus Dynamics yang terus meneroka teknologi dan inovasi baharu bagi mengubah perkhidmatan F&B tradisional melihat kerjasama dengan Saudee ini sebagai satu cara bagi menjadi penggerak utama dalam trend teknologi robotik F&B,” katanya dalam kenyataan.
Kerjasama tersebut akan menyaksikan Focus Dynamics memberikan kepakaran pengurusan teknologinya bagi mengembangkan operasi robotik automotik dengan lancar serta interaksi minimum bersama manusia manakala Saudee pula menyediakan proses R&D menghasilkan makanan yang dibungkus dengan tepat dan sesuai sekali gus memenuhi aspek robotik.
Saudee merupakan pengeluar makanan segera terkemuka negara dengan jenama premium Saudee Gold yang membekalkan pelbagai jenis makanan termasuk burger dan nugget berkualiti tinggi serta disahkan halal.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Saudee, Mak Siew Wei berkata, operasi robotik F&B memerlukan kajian mendalam tentang penyediaan, pembungkusan dan kualiti daging mentah bagi menghasilkan komposisi tepat yang diperlukan supaya robot mengeluarkan makanan berkualiti dan konsisten tinggi setiap hari.
Kerjasama kedua-dua syarikat itu akan menghasilkan sebuah kios burger robotik pertama di Malaysia sebagai model memasar dan mempamerkan teknologi serta memberi kesedaran mengenai aspek robotik.
Kios yang dijangka dapat dilancarkan awal tahun hadapan itu bakal menyaksikan penggunaan tenaga kakitangan minimum bagi mengendalikannya sekali gus mengharapkan teknologi robotik menghasilkan roti burger dan daging serta dibungkus menerusi kualiti masakan, persembahan dan rasa yang konsisten. – UTUSAN