KUALA LUMPUR: Etika Sdn. Bhd. (Etika) meneruskan usaha menyediakan bantuan dan sokongan kepada pelbagai organisasi masyarakat mengharungi saat-saat mencabar ekoran penularan Covid-19 ketika ini.
Terbaharu, Etika telah memulakan usaha membantu pesara tentera dan polis daripada Persatuan Kebajikan Keluarga Bekas Polis dan Tentera (Poltera).
Menurut Etika, satu daripada inisiatif yang dilaksanakan syarikat pengedar minuman itu adalah dengan memberikan lima unit kerusi roda dan pelbagai minuman campuran yang menyegarkan.
Katanya, Etika secara aktif menunjukkan rasa terima kasih kepada rakyat Malaysia terutama pelanggan setia, menyokong perniagaan tempatan dan memotivasikan barisan hadapan sejak awal penularan Covid-19.
“Melalui Etika Cares, kami telah melakukan beberapa inisiatif untuk meningkatkan moral dan menyokong masyarakat tempatan selagi boleh.
“Etika menghargai jasa dan sumbangan pesara tentera dan polis dalam melindungi kehidupan, menjaga ketenteraman dan keamanan negara melalui pengorbanan serta dedikasi selama bertahun-tahun,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Naib Presiden Pemasaran Etika, Yee Pek Kuan berkata, usaha yang dilaksanakan syarikat tersebut diharap dapat memberi keselesaan dan menceriakan hari bekas pegawai tentera dan polis.
“Segala bentuk kebaikan tidak kira sekecil mana pun akan memberi makna besar kepada masyarakat.
“Dalam mengharungi cabaran besar ini, kami menggalakkan semua rakyat Malaysia sama-sama melakukan kebaikan membantu sesiapa yang terkesan,” katanya. – UTUSAN