Eropah benar Max terbang Januari - Utusan Malaysia

Eropah benar Max terbang Januari

Sebahagian daripada berpuluh-puluh pesawat Boeing 737 Max ‘tersadai’ di sebuah kawasan milik syarikat itu di Renton, Washington, Amerika Syarikat. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Kesatuan Eropah dilaporkan hanya akan menarik balik larangan penerbangan ke atas Boeing 737 Max pada awal tahun hadapan.

Pengarah Eksekutif Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA), Patrick Ky berkata, Max akan hanya dibenarkan terbang semula selepas badan bebas dilantik mengesahkan keselamatan pesawat berkenaan.

“Pemeriksaan yang dijalankan menunjukkan 737 Max boleh kembali beroperasi. Dalam keadaan ini, kami akan menerima pakai keputusan (badan yang dilantik) yang membenarkan ia kembali terbang pada Januari,” katanya.

Dilaporkan terdapat 240 pesawat Max ditempatkan di sebuah kawasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Grant County, Moses Lake, mewakili kira-kira separuh jumlah inventori Boeing bernilai AS$16 bilion (RM654.54 bilion), menurut firma pelaburan Jefferies.

Penganalisis berpendapat, Boeing perlu menjual kesemua 450 pesawatnya yang masih tersadai, untuk kembali pulih. Namun, usaha itu bukan mudah kerana terdapat pembeli yang menarik diri selepas pesawat dikeluarkan.

Dalam pada itu, Delta Air Lines memberi isyarat syarikat tersebut akan membeli Boeing 737 MAX, yang baru diluluskan oleh pengawal selia Amerika Syarikat (AS) untuk terbang semula.

Ketua Eksekutif Delta Air Lines, Ed Bastian berkata, mereka masih berbincang dengan pihak Boeing tentang banyak perkara termasuk kemungkinan membeli Max.

“Jika ada peluang untuk kami memperoleh pesawat tersebut, kami tidak akan ragu-ragu untuk berbuat sedemikian,” kata Bastian.

Pesawat tersebut tidak dibenarkan terbang selama 20 bulan sejak Mac 2019 selepas terbabit dalam dua nahas yang mengorbankan 346 orang penumpang.

Delta merupakan antara syarikat penerbangan yang ditawarkan oleh Boeing untuk membeli berpuluh-puluh jet 737 MAX yang pada mulanya dibina untuk pelanggannya yang jatuh muflis.

Bastian berpendapat, adalah lebih mudah jika syarikat itu melancarkan semula penerba­ngan melintasi benua Atlantik ke ibu negara Eropah yang lain.

Bagaimanapun, syarikat-sya­rikat penerbangan besar mahu kerajaan AS dan British membuat saringan coronavirus buat penumpang yang terbang antara New York dan London.

Selain isu keselamatan, Boeing turut mengalami masalah kewangan yang serius akibat pandemik Covid-19 yang turut memberi kesan kepada semua syarikat penerbangan global.

Pembatalan pesanan 12 pesawat Max turut menyumbang kepada faktor masalah kewa­ngan yang dihadapi oleh Bo­eing. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN