Eksport getah naik 14.2 peratus - Utusan Malaysia

Eksport getah naik 14.2 peratus

EKSPORT produk getah terutama sarung tangan terus melonjak disebabkan penularan pandemik Covid-19. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Eksport getah asli negara mencatatkan peningkatan 14.2 peratus berjumlah 48,720 tan metrik pada September lalu berbanding Ogos seba­nyak 42,658 tan metrik.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pengeluaran getah asli turut melonjak 3.7 peratus kepada 46,187 tan metrik pada September daripada 44,543 tan metrik bulan sebelumnya, namun turun sebanyak 25.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli sebanyak 46 peratus diikuti Jerman (13.2 peratus), Iran (3.8 peratus), Finland (3.3 peratus) dan Brazil, 3.1 peratus.

Beliau berkata, sarung tangan getah merupakan item eksport utama dengan nilai eksport meningkat sebanyak 25.6 peratus kepada RM3.8 bilion daripada RM3 bilion pada Ogos.

“Antara negara tertinggi eksport produk sarung tangan tersebut adalah Amerika Syarikat, Jerman dan United Kingdom.

“Stok getah asli pula naik 255,140 tan metrik daripada 233,492 tan metrik pada Ogos, pe­ningkatan sebanyak 9.3 peratus,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, harga purata bagi lateks pekat merekodkan peningkatan kepada 484.57 sen sekilogram berbanding 467.71 sen sekilogram pada Ogos lalu.

Beliau berkata, Getah Mutu Malaysia 20 (GMM20) turut meningkat kepada 558.50 sen sekilogram daripada 538.68 sen.

“Penggunaan getah asli di peringkat domestik pada September ialah 45,207 tan metrik, turun sebanyak 2.9 peratus bulan sebelumnya.

“Industri pembuatan sarung tangan getah merupakan industri utama dengan penggunaan sebanyak 34,016 tan metrik atau 75.21 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN