Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.5 hingga 6 peratus 2021 - Utusan Malaysia

Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.5 hingga 6 peratus 2021

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh memberi kesan kepada momentum pemulihan ekonomi dalam suku keempat 2020. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kedudukan ekonomi negara diramal positif dengan berkembang antara 5.5 hingga 6.0 peratus tahun hadapan.

Menurut AmBank Research, unjuran tersebut didorong oleh prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan tahap perdagangan yang lebih baik di samping langkah pakej rangsangan domestik diumumkan kerajaan.

AmBank Research memberitahu, pakej rangsangan fiskal secara besar-besaran bernilai RM305 bilion atau 21 peratus daripada KDNK dijangka menyokong ekonomi domestik.

“Bagi tahun 2020, kami mengekalkan unjuran ekonomi iaitu penguncupan pada tahap -3.6 hingga -5.6 peratus sejajar dengan unjuran yang ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu pada kadar -3.5 hingga -5.5 peratus.

“Walau bagaimanapun, tinjauan pertumbuhan bagi tahun hadapan kekal positif dengan ekonomi tempatan dijangka berkembang pada tahap 5.5 hingga 6.0 peratus,” katanya dalam nota kajian.

Dalam pada itu, AmBank Research berkata, walaupun mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR), BNM dilihat lebih berhati-hati kali ini berbanding sewaktu pengumuman pada bulan September.

Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh memberi kesan kepada momentum pemulihan ekonomi dalam suku keempat tahun ini.

“BNM menekankan bahawa keseimbangan risiko masih condong untuk merosot disebabkan risiko peningkatan semula jangkitan Covid-19 yang dilihat boleh memberi impak kepada perniagaan, pekerjaan dan pendapatan,” katanya.

Kelmarin, BNM mengekalkan OPR pada tahap 1.75 peratus buat kali kedua tahun ini didorong oleh momentum peningkatan kegiatan ekonomi yang ketara pada suku ketiga.

Bank pusat itu memberitahu, pertumbuhan bagi tahun ini dijangka berada dalam julat unjuran antara -3.5 hingga -5.5 peratus dengan kegiatan ekonomi pada tahun hadapan dijangka bertambah baik.

Dalam sesi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) September lalu, BNM mengekalkan OPR pada tahap 1.75 peratus selepas menurunkan kadar yang menjadi penanda aras rujukan pinjaman tempatan ke paras terendah dalam sejarah itu pada Julai.

Penurunan itu adalah keempat dalam tempoh enam bulan tahu ini dengan jawatankuasa itu pada 22 Januari dan 3 Mac lalu menurunkan OPR masing-masing sebanyak 0.25 peratus.

MPC pada 5 Mei lalu sekali lagi mengurangkan OPR sebanyak 0.5 peratus.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya