Ekonomi 2020 diramal menguncup 4.8 peratus - Utusan Malaysia

Ekonomi 2020 diramal menguncup 4.8 peratus

Ekonomi dijangka akan pulih secara berperingkat memandangkan sentimen masih lemah berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ekonomi negara diunjur untuk terus berada dalam fasa pemulihan berdasarkan perkembangan dan indikator semasa apatah lagi selepas melonjak dengan ketara pada suku ketiga apabila mencatat penguncupan hanya 2.7 peratus.

Ia penyusutan yang lebih perlahan berbanding kemelesetan ketara 17.1 peratus pada suku kedua tahun ini.

Walaupun begitu, MIDF Research tetap menjangkakan ekonomi akan pulih secara berperingkat memandangkan sentimen masih lemah berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 tempatan dan global.

Dalam masa yang sama, MIDF Research berkata, risiko tetap wujud melibatkan kedudukan politik dan ketegangan geopolitik.

Sehubungan itu, institusi penyelidikan itu mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara untuk tahun 2020 untuk menguncup pada kadar -4.8 peratus.

“Peningkatan kes Covid-19 dalam negara telah membuatkan hampir kesemua negeri berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Walaupun kami melihat PKPB kali ini sedikit longgar dengan kebanyakan aktiviti ekonomi masih dibenarkan beroperasi mengikut kepada prosedur operasi standard (SOP), namun ia masih memberi kesan kepada permintaan disebabkan sekatan pergerakan,” katanya dalam nota kajian.

KDNK susut lebih perlahan iaitu menguncup 2.7 peratus pada suku ketiga berbanding 17.1 peratus pada suku kedua.

Dalam pada itu, MIDF Research memberitahu, kesan utama pelaksanaan PKPB terhadap ekonomi adalah melibatkan perbelanjaan pengguna yang melemah dan kesan limpahan kepada industri perkhidmatan terutama subsektor seperti dagangan runcit, restoran, hotel, perjalanan, pendidikan dan perkhidmatan rekreasi.

“Dengan sempadan antarabangsa masih ditutup, sokongan ekonomi hadir daripada aktiviti pelancongan domestik yang agak terkesan akibat pelaksanaan PKPB,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN