DRB-HICOM untung RM142.42j - Utusan Malaysia

DRB-HICOM untung RM142.42j

Pendapatan sektor automotif dan pembuatan komponen berjumlah RM2.54 bilion untuk tempoh dilaporkan, peningkatan 140.91 peratus daripada suku sebelumnya. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: DRB-HICOM Berhad mencatat untung bersih RM47.5 juta pada suku ketiga (S3) berakhir 30 September 2020.

Walau bagaimanapun, syarikat itu masih dalam kerugian bersih untuk sembilan bulan pertama tahun kewangan 2020 iaitu sebanyak RM431.86 juta.

Keuntungan yang dicatat pada suku tersebut didorong oleh pembukaan semula ekonomi lewat suku kedua apabila bermulanya fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“DRB-HICOM telah mencatat keuntungan pracukai berjumlah RM142.42 juta bagi tempoh tiga bulan sehingga 30 September 2020. Perolehan untuk tempoh ini bernilai RM3.56 bilion,” kata syarikat itu dalam kenyataan semalam.

Menurut DRB-HICOM, perolehan bagi sektor automotif dan pembuatan komponen berjumlah RM2.54 bilion untuk tempoh dilaporkan, peningkatan 140.91 peratus daripada suku sebelumnya.

Sektor perkhidmatan pula mencatatkan perolehan sebanyak RM918.67 juta, naik 5.4 peratus berbanding suku ke-2, didorong segmen perbankan dan perkhidmatan pos.

“Sektor Hartanah pula tertekan kerana ia antara sub-sektor yang paling lewat dibuka semula selepas PKP. Bagaimanapun, perolehan dicatatkan bernilai RM104.32 juta adalah peningkatan 32.25 dari suku sebelumnya, disumbang oleh projek pembangunan,” katanya.

Tambahnya, anak syarikat, syarikat kerjasama serta syarikat bersekutu juga mencatat prestasi baik dalam tempoh tersebut.

Syarikat itu menjangkakan prestasi tahun penuhnya lebih rendah berbanding tahun kewangan yang terdahulu di­sebabkan ancaman pandemik Covid-19 yang meletakkan persekitaran perniagaan domestik dan global dalam cabaran yang sangat besar.

“Setelah menyusut 17.1 peratus dalam suku kedua, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mencatat pengecutan yang lebih kecil dalam suku ketiga iaitu -2.7 peratus, didorong permintaan domestik serta pemulihan pasaran luar.

“Kelestarian pemulihan ini adalah cabaran besar kepada ekonomi negara dengan gelombang ketiga Covid-19 kini memaksa kerajaan melaksanakan semula PKPP di kebanyakan negeri,” katanya.

Untuk sektor automotif, data Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan 166,796 unit kenderaan dijual dalam suku ketiga.
“Ini adalah peningkatan 145 peratus volum keseluruhan industri berbanding suku kedua.

“Dengan penangguhan cukai jalan tersebut dijangka tamat pada 31 Disember, jualan automotif dijangka kekal positif dalam suku keempat,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN