DET beri impak positif pembangunan OKU - Utusan Malaysia

DET beri impak positif pembangunan OKU

Sesi simulasi: Memberi peluang kepada penyedia perkhidmatan membantu OKU berkerusi roda menaiki bas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nasib golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini tidak pernah dipinggirkan mana-mana agensi kerajaan menerusi saluran pelbagai bantuan dari segi kewangan, kemudahan mahu pun kemahiran.

Ini terbukti menerusi kursus Disability Equality Training (DET) anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang telah berjaya memberi impak positif terhadap pembangunan OKU selepas di perkenalkan kira-kira 15 tahun lalu.

Kursus yang diadakan setiap tahun itu berjaya mengubah pandangan masyarakat terhadap OKU untuk memberi peluang sama rata dan memastikan mereka tidak ditindas.

Malah, kekurangan yang ada pada OKU kini tidak lagi dianggap sebagai keterbatasan fungsi individu dengan adanya program seperti itu.

“Program DET dilaksanakan saban tahun merupakan satu kaedah komprehensif untuk memahami isu berkaitan ketidakupayaan berasaskan perspektif Model Sosial.

“DET mempromosikan pemahaman tentang kekurangan dan ketidakupayaan dengan membantu peserta mempelajari kewujudan tembok halangan yang disebabkan sikap masyarakat dan bagaimana peranan mereka untuk menyekat halangan itu di institusi sosial atau infrastruktur,” kata JKM dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sesi simulasi: Memberi peluang kepada peserta merasai menjadi OKU penglihatan.

Program DET secara asasnya dibangunkan sekumpulan OKU dari United Kingdom (UK) dan mula dilaksanakan pada akhir 1970-an sebelum dikembangkan ke seluruh dunia.

Di Malaysia, program itu diperkenalkan pada 2005 oleh Japan International Cooperate Agency (JICA) menerusi projek kerjasama JKM untuk membangunkan pelbagai perkhidmatan bagi menyokong penglibatan OKU dalam masyarakat.

DET secara rasminya diwujudkan di negara ini di bawah Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya Bangsa-Bangsa Bersatu yang ditandatangani pada 2007 dan diratifikasikan pada 6 Julai 2010.

Dalam pada itu, JKM berkata, DET turut diterjemahkan sebagai satu proses bagi menggalakkan individu, organisasi dan pihak kerajaan mengenal pasti polisi atau prosedur yang membolehkan OKU mendapat peluang sama rata dalam masyarakat.

Menurut JKM lagi, DET memberi penekanan kepada kesamarataan hak golongan istimewa dalam masyarakat.

“DET dalam kata lain merupakan satu proses untuk mempelajari ketidakupayaan daripada perspektif model sosial yang direka cipta dan disampaikan atau diterjemahkan sendiri warga OKU yang mempunyai pengalaman didiskriminasi.

“Selain itu, DET juga bertujuan mempromosi pemahaman ketidakupayaan dengan membantu dan memudahkan peserta mempelajari kewujudan tembok halangan yang disebabkan sikap masyarakat.

“Ia seterusnya mengetengahkan peranan mereka menyekat halangan itu wujud di institusi sosial atau infrastruktur,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, JKM berkata, bagi memastikan program itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan, Training of Trainer of DET (TOT of DET) turut dijalankan setiap dua tahun untuk melahirkan jurulatih dalam kalangan OKU.

“Seramai 53 orang DET Trainer terdiri daripada kakitangan awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta telah dilatih sejak 2010 secara tidak langsung juga mampu memberi pendedahan kepada peserta kursus dan menjadi batu loncatan dalam meminimumkan jurang antara masyarakat.

“Namun, jumlah itu masih tidak mencukupi untuk mengerakkan DET di seluruh negara. Justeru, TOT of DET perlu diteruskan untuk melahirkan lebih ramai jurulatih agar matlamat untuk melahirkan masyarakat inklusif tercapai,” jelas jabatan itu.

Sesi simulasi: Memberi pendedahan kepada peserta teknik menyantuni OKU penglihatan.

DET kini diterima dan dilaksanakan syarikat swasta seperti AirAsia Bhd. (AirAsia), Malaysia Airlines Berhad (MAB), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), universiti awam dan swasta.

Badan antarabangsa seperti Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) juga telah mengadakan DET dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

Tambah JKM, program sebegini wajar diteruskan selepas kejayaannya dalam membawa perubahan, pengetahuan dan pemahaman kepada masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN