KUALA LUMPUR: Deklarasi Kuala Lumpur yang dimeterai pemimpin 21 negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) berfokus kepada usaha pemulihan daripada pandemik Covid-19 dan impak-impak ekonominya.
Deklarasi yang disepakati sebagai kesimpulan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) 2020 itu meletakkan empat keutamaan yang akan memandu rantau Asia Pasifik ke arah pertumbuhan ekonomi yang kuat, seimbang, inklusif, mampan, inovatif dan terlindung.
Empat keutamaan tersebut adalah memerangi dan mengurangkan impak Covid-19; menambah baik naratif perdagangan dan pelaburan; penyertaan ekonomi yang inklusif melalui ekonomi digital dan teknologi serta memacu kemampanan inovatif.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertindak sebagai Pengerusi AELM berkata, kesemua pemimpin APEC memberi perhatian terhadap impak Covid-19 terhadap ekonomi membangun dengan keutamaan kepada melindungi kesejahteraan rakyat dan dalam masa sama terus menggerakkan aktiviti ekonomi.
“Pemimpin APEC turut mengiktiraf keperluan golongan yang paling terkesan akibat pandemik dan keperluan untuk memperkasa sektor ekonomi.
“Kami juga mengalu-alukan sumbangan sumber tambahan dari seluruh APEC untuk memerangi pandemik serta menyokong pekerja dan sektor melalui proses pemulihan ekonomi,” katanya dalam sidang akhbar maya selepas mesyuarat tersebut.
Dalam pada itu, berkenaan vaksin Covid-19, Muhyiddin berkata, semua pemimpin memberi komitmen untuk bekerjasama dan menyokong satu sama lain bagi menjamin akses yang adil untuk vaksin tersebut.
“Satu usaha yang penting ialah Deklarasi untuk Memudah Cara Pergerakan Barang Keperluan di APEC yang dirintis oleh Malaysia. Deklarasi ini memastikan bahawa barangan keperluan boleh digerakkan melalui sempadan tanpa disekat oleh peraturan perdagangan yang tidak adil.
“Deklarasi ini akan memimpin kita ke arah aliran perdagangan dan pelaburan yang lebih kondusif di seluruh ekonomi APEC melalui sistem perdagangan yang terbuka, bertenaga, telus dan mampan,” katanya.
AELM ke-27 disertai 21 pemimpin negara anggota APEC dan pertama kali dilangsungkan secara maya malam tadi.
Antara pemimpin yang menyertai mesyuarat itu termasuk Presiden China, Xi Jinping; Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern; Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga; Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Hak penganjuran sidang kemuncak APEC 2021 diserahkan kepada New Zealand selaku tuan rumah tahun hadapan dan majlis simbolik penyerahannya disempurnakan oleh Muhyiddin kepada Jacinda Ardern secara maya, malam tadi. – UTUSAN