Covid-19 cabaran besar buat penggubal dasar - Utusan Malaysia

Covid-19 cabaran besar buat penggubal dasar

BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi dalam usaha mengekang kenaikan inflasi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Impak pandemik Covid-19 terhadap ekonomi dan pasaran kewangan memberi cabaran besar buat para penggubal dasar.

Hal itu diakui gabenor-gabenor bank pusat negara anggota Mesyuarat Eksekutif Bank Pusat Asia Pasifik (EMEAP) yang bermesyuarat secara persidangan video kelmarin.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, dalam keadaan tersebut EMEAP telah memainkan peranan penting dalam mengenal pasti potensi risiko dan kerentanan selain perubahan struktur ekonomi serantau yang berlaku.

“Dalam mesyuarat itu juga, peserta bertukar pandangan tentang bagaimana penggubal dasar boleh menyusun polisi dan menyokong ekonomi serantau dengan memudah cara penstrukturan semula ekonomi yang perlu melalui polisi yang memperuntukkan sumber dengan kaedah yang berkesan dan cekap.

“Para gabenor turut berkongsi pengalaman dalam usaha mereka menuju digitalisasi, termasuk kaedah praktikal untuk meningkatkan kemampuan masing-masing memanfaatkan teknologi dalam perbankan pusat era moden,” katanya dalam kenyataan di sini.

EMEAP merupakan forum kerjasama melibatkan 11 bank pusat dan autoriti kewangan di Asia Timur dan rantau Pasifik melibatkan Bank Rizab Australia; Bank Rakyat China; Autoriti Kewangan Hong Kong; Bank Rizab New Zealand; Bank Pusat Filipina; Bank Indonesia; Bank Jepun; Bank Korea; BNM, Autoriti Kewangan Singapura dan Bank Thailand.

Mesyuaratnya kelmarin adalah yang ke-25 dan turut dihadiri wakil kanan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank of International Settlements (BIS) serta dihoskan oleh Ketua Eksekutif Autoriti Kewangan Hong Kong, Eddie Yue.

Mengulas lanjut, menurut BNM, anggota EMEAP sentiasa bekerjasama sepanjang tempoh tekanan pasaran kewangan tahun ini.

Katanya, para gabenor menekankan kepentingan EMEAP sebagai platform berkesan untuk dialog polisi yang berterusan, pengukuhan kerjasama serantau selain menyediakan perspektif serantau yang dapat membantu perbincangan di peringkat antarabangsa ketika tempoh yang mencabar ketika ini.

“EMEAP akan terus memainkan peranan aktif dalam menggalakkan kerjasama serantau dalam kalangan institusi bank pusat bagi mengekalkan kestabilan kewangan dan menyokong pemulihan ekonomi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya