Ceburi perniagaan emas - Utusan Malaysia

Ceburi perniagaan emas

Norazlan Anuar (berdiri, tiga dari kanan) melihat proses membuat barangan kemas di Kilang Pertukangan Emas dan Perak Makmur Gold di Jalan Temenggong, Kota Bharu, semalam. – UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pahang akan mengadakan kerjasama dengan semua koperasi di negeri itu untuk menceburi perniagaan emas bagi menjadikan koperasi lebih kompetitif.

Pengarah SKM Pahang, Norazlan Anuar berkata, emas merupakan perniagaan sangat menarik dan menguntungkan.

Katanya, menceburi perniagaan emas memberi impak tinggi kepada koperasi disebabkan minat orang ramai terhadap emas tidak pernah pudar dan tetap membeli logam itu walaupun berlaku turun naik harga.

“Sepanjang bekerjasama de­ngan Koperasi Muafakat Makmur Berhad (Ko-Makmur) melalui jenama kedai emasnya Makmur Gold, SKM Pahang begitu tertarik dengan usaha mereka dan kerjasama itu perlu diperluaskan kepada koperasi-koperasi lain.

“SKM Pahang akan membuka peluang kepada koperasi lain di mana kita lihat Ko-Makmur merupakan koperasi cepat berdaya saing serta progresif dan tidak mustahil menjadi satu daripada koperasi terbaik di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Kilang Pertukangan Emas dan Perak Makmur Gold dibina di Jalan Temenggong dekat sini semalam.

Menurut Norazlan, beliau kagum dengan koperasi Ko-Makmur yang kebanyakan dianggotai golongan belia dan mampu membuka peluang pekerjaan.

Tambahnya, setakat Disember 2019, SKM Pahang mempunyai 1,153 koperasi dengan lebih 250,000 ahli serta aset mence­cah lebih RM1.57 billion dan perolehan sebanyak RM736.9 juta.

Sementara itu, Pengerusi Ko-Makmur , Hishamuddin Abdullah berkata, pihaknya membuka peluang kepada mana-mana koperasi menjalankan perniagaan emas bersama Ko-Makmur.

Katanya, Ko-Makmur menerusi kedai emas Makmur Gold kini berpusat di Pahang dan mempunyai cawangan di Kelantan, Terengganu dan di Bangi, Selangor.

“Ko-Makmur juga me­rancang membuka kilangnya sendiri di Kawasan Perindustrian Gebeng dekat Kuantan, Pahang dengan anggaran pelaburan bernilai RM100 juta tahun depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya