TOKYO: Bursa saham Jepun mencecah paras tertinggi dalam tempoh 20 tahun selepas ekonomi negara itu berjaya mencatatkan pertumbuhan pertama dalam masa empat suku terakhir.
Pada masa yang sama, kemajuan yang ditunjukkan dalam pembangunan vaksin Covid-19 turut mempengaruhi peningkatan pasaran global.
Indeks Nikkei 225 melonjak 1.54 peratus kepada 25,776.56 mata. Indeks penanda aras itu melonjak ke paras tertinggi sejak Jun 1991 pada awal sesi dagangan manakala Topix pula naik 1.31 peratus kepada 1,725.56 mata.
Ekonomi Jepun berkembang 21.4 peratus secara tahunan mengatasi unjuran median pasaran pada tahap 18.9 peratus dengan data kerajaan menunjukkan peningkatan pertama dalam empat suku susulan penguncupan sebanyak 28.8 peratus antara April hingga Jun.
Keyakinan terhadap vaksin mengatasi kebimbangan mengenai peningkatan kes Covid-19 global dengan berita positif daripada Johnson & Johnson melonjakkan lagi pasaran tempatan.
Pengeluar ubatan dari Amerika Syarikat (AS) itu melancarkan percubaan vaksin fasa akhir di Britain selepas perkembangan terbaharu daripada Pfizer dan Moderna Inc. mengenai kajian masing-masing.
Walaupun beberapa penganalisis mencadangkan supaya pasaran lebih berhati-hati dalam tempoh terdekat memandangkan AS dan negara-negara Eropah mungkin akan memperkenalkan semula sekatan bagi mengawal peningkatan jangkitan baharu sekali gus menyebabkan turun naik pasaran.
Saham yang mencatatkan peningkatan paling tinggi dalam 30 syarikat utama Topix adalah Mitsubishi UFJ Financial Group Inc. yang naik 3.99 peratus diikuti Honda Motor Co. Ltd. meningkat 3.64 peratus.
Syarikat yang mencatatkan prestasi rendah dalam Topix 30 adalah Nintendo Co. Ltd. susut 1.38 peratus diikuti Takeda Pharmaceutical Co. Ltd. yang jatuh satu peratus.
Saham Rakuten pula menokok 2.65 peratus selepas syarikat perdagangan internet itu mengumumkan akan menjalin kerjasama dengan syarikat ekuiti swasta, KKR bagi menguasai saham peruncit Jepun, Seiyu. – AGENSI