Boeing 737 Max kembali terbang - Utusan Malaysia

Boeing 737 Max kembali terbang

Operasi Boeing 737 Max sebelum ini digantung selepas dua nahas membabitkan pesawat berkenaan yang mengorbankan 346 penumpang. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Selepas hampir dua tahun ‘tersadai’, Boeing Co. memaklumkan ia akan menerbangkan kembali pesawat 737 Max selepas mendapat kebenaran daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS).

Pesawat Boeing 737 Max sebelum ini dilarang daripada beroperasi berikutan dua nahas membabitkan pesawat berkenaan dalam tempoh lima bulan iaitu di Indonesia dan Ethiopia yang mengorbankan 346 penumpang.

Larangan berikutan nahas yang berlaku pada 2018 dan 2019 itu menyebabkan Boeing kerugian kira-kira AS$20 bilion (RM81.79 bilion).

Menurut laporan, FAA akan mengeluarkan garis panduan baharu mengenai latihan dan peningkatan perisian yang perlu dilakukan oleh Boeing sebelum 737 Max dibenarkan kembali beroperasi selepas 20 bulan direhatkan, iaitu tempoh larangan paling lama dikenakan dalam sejarah industri penerbangan komersial.

Keputusan menerbangkan semula pesawat berkenaan bagaimanapun berlaku ketika industri berdepan cabaran besar berikutan penularan pandemik COvid-19, pelaksanaan tarif baharu di Eropah dan kepercayaan penumpang terhadap jenama Boeing yang semakin terhakis.

Seorang waris mangsa, Noise Ryan berkata, suaminya berusia 39 tahun, telah terkorban dalam nahas pesawat 737 Max di Ethiopia.

“Kami sekeluarga menderita berikutan nahas tersebut dan kemungkinan akan terus mengalami keadaan yang sukar sepanjang hidup kami,” katanya.

Boeing 737 Max merupakan versi pesawat 1960-an yang telah dipertingkatkan. Menggunakan enjin tunggal, Max dan pesaingnya, Airbus 320 merupakan pesawat jarak dekat yang mendominasi industri serta menjadi sumber pendapatan utama syarikat-syarikat penerbangan.

Mengambil kira keputusan FAA itu, syarikat penerbangan American Airlines merancang untuk menerbangkan semula 737 Max pada 29 Disember ini. Bagaimanapun, Southwest Airlines yang merupakan pengendali terbesar Max, masih belum mempunyai rancangan untuk menggunakan kembali pesawat itu sehingga suku kedua 2021.

Menurut laporan, Pegawai Tadbir di FAA, Steve Dickson akan menandatangani surat kebenaran untuk Max kembali beroperasi hari ini, selain syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh Boeing.

Antara syarat itu termasuk semua juruterbang perlu menjalani semula latihan dan peningkatkan sistem perisian yang boleh berinteraksi dengan sistem pencegahan nahas dipanggil MCAS. Sistem itu dikatakan dapat membantu juruterbang ketika menghadapi saat-saat kecemasan.

Dalam pada itu, Boeing dilaporkan berusaha meningkatkan penyelenggaraan pesawat berkenaan selain mencari pembeli baharu untuk bangkit semula selepas industri terjejas teruk akibat wabak Covid-19. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN