BNM kekalkan kadar faedah 1.75 peratus - Utusan Malaysia

BNM kekalkan kadar faedah 1.75 peratus

KERJASAMA akan mempercepatkan transformasi digital dan integrasi kewangan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Momentum peningkatan kegiatan ekonomi dengan ketara pada suku ketiga mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada tahap 1.75 peratus, buat kali kedua tahun ini.

Bank pusat itu memberitahu, pertumbuhan bagi tahun ini dijangka berada dalam julat unjuran iaitu di antara -3.5 hingga -5.5 peratus dengan kegiatan ekonomi pada tahun hadapan dijangka bertambah baik.

Menurut BNM, peningkatan tersebut didorong oleh permintaan global yang semakin pulih, perbelanjaan sektor swasta dan awam yang meningkat dalam keadaan sokongan berterusan daripada langkah-langkah dasar dan pengeluaran lebih tinggi daripada fasiliti sedia ada serta baharu.

“Walaupun begitu, kadar pemulihan ini dijangka tidak sekata merentas sektor dengan kegiatan ekonomi dalam beberapa industri terus berada di bawah paras sebelum pandemik dan peningkatan lebih perlahan dalam pasaran pekerjaan.

“Risiko pertumbuhan yang rendah masih wujud berpunca terutamanya daripada ketidakpastian yang berterusan berhubung pandemik pada peringkat domestik dan global dengan pengenalan langkah-langkah bersasar membendung Covid-19 di beberapa negeri boleh menjejaskan momentum pemulihan pada suku keempat,” katanya dalam kenyataan semalam.

BNM mengekalkan OPR pada tahap 1.75 peratus dalam sesi mesyuarat MPC September lalu selepas menurunkan kadar yang menjadi penanda aras rujukan pinjaman tempatan ke paras terendah dalam sejarah itu pada Julai.

Penurunan itu adalah keempat dalam tempoh enam bulan tahun ini dengan jawatankuasa itu pada 22 Januari dan 3 Mac lalu menurunkan OPR masing-masing sebanyak 0.25 peratus.

MPC pada 5 Mei lalu sekali lagi mengurangkan OPR sebanyak 0.50 peratus.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berpendapat, masih terdapat kemungkinan OPR untuk diturunkan berikutan pemulihan ekonomi masih tidak pasti disebabkan penularan Covid-19 sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Sela­ngor, Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“PKPB yang dilaksanakan adalah untuk mengekang jangkitan pandemik tetapi dalam masa yang sama boleh merencatkan kegiatan ekonomi.

“Justeru, BNM akan sentiasa memerhati data-data ekonomi dan bersedia bertindak mengikut kesesuaian dan keadaan ekonomi semasa bagi menilai keputusan yang sesuai ber­kenaan OPR,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Ahli Ekonomi OCBC Bank, Wellian Wiranto pula berpendapat, BNM berusaha mendapatkan keseimbangan dalam beberapa sektor ekonomi walaupun mengakui risiko kebimbangan mengenai ekonomi wujud, namun unjuran kekal positif.

Wellian turut menjangkakan BNM tidak teragak-agak menurunkan kadar OPR sekiranya perlu, mengambil kira risiko kemelesetan ekonomi mula mempengaruhi pertumbuhan.

“Sekiranya ekonomi dalam suku keempat makin terkesan sama ada melibatkan penurunan eksport atau penutupan aktiviti perniagaan, BNM akan bertindak pantas.

“Walaupun mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) tidak akan berlangsung sehingga 19 dan 20 Januari 2021 tetapi jika keadaan semakin buruk, jika perlu mungkin akan ada keputusan sebelum mesyuarat.

“Semuanya bergantung dalam beberapa minggu akan datang terutama melibatkan pengawalan jangkitan Covid-19 serta perkembangan pasaran ekonomi dan kewangan global selepas Pilihan Raya Amerika Syarikat (AS) yang akan menjadi penentu utama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya