BNM dijangka kekalkan OPR - Utusan Malaysia

BNM dijangka kekalkan OPR

KERJASAMA akan mempercepatkan transformasi digital dan integrasi kewangan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras 1.75 peratus.

Bank pusat itu dijadual akan mengumumkan OPR terakhir 2020 selepas mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Mo­netari (MPC) hari ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashidah berkata, ekonomi sedang me­nunjukkan tanda pemulihan.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, BNM mahu memastikan mempunyai fleksibiliti mengurangkan lagi OPR pada masa hadapan sekiranya terdapat keperluan sekali gus mengekalkan kadar pada tahap semasa.

Katanya, data terkini menunjukkan jumlah eksport meningkat sebanyak 13.6 peratus pada September lalu, lonjakan jualan kenderaan dalam suku ketiga kepada 166,796 unit berban­ding 67,796 unit pada suku kedua di samping Indeks Pelopor (LI) yang turut positif bagi empat bulan berturut-turut.

“Dengan data ekonomi terkini semakin menunjukkan pemulihan, ada kemungkinan BNM boleh ‘merehatkan’ OPR daripada terus diturunkan pada mesyuarat kali ini.

“Namun begitu, kenaikan kes Covid-19 memberi sedikit kebimbangan terhadap prospek ekonomi kerana ia boleh mengganggu gugat momentum pemulihan ekonomi. Jadi, tidak mustahil OPR akan diturunkan selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

BNM mengekalkan OPR pada tahap 1.75 peratus dalam sesi mesyuarat MPC September lalu selepas menurunkan kadar yang menjadi penanda aras rujukan pinjaman tempatan ke paras terendah dalam sejarah itu pada Julai.

Penurunan itu adalah keempat dalam tempoh enam bulan tahun ini dengan jawatankuasa itu pada 22 Januari dan 3 Mac lalu membuat keputusan me­nurunkan OPR masing-masing pada kadar 0.25 peratus.

MPC pada 5 Mei lalu sekali lagi mengurangkan OPR sebanyak 0.50 peratus.

Tambah Afzanizam, pihak­nya menjangkakan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini akan me­nguncup sebanyak empat peratus dan berkembang positif sebanyak 6.2 peratus tahun hadapan.

Afzanizam berkata, pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat ini juga dijangka mampu merancakkan kegiatan ekonomi negara.

“Proses pembukaan ekonomi secara berperingkat, pe­ngawalan kepada penularan wabak serta pemulihan ekonomi global dijangka membantu memulihkan ekonomi negara pada tahun hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN