Belanjawan rapatkan jurang digital - Utusan Malaysia

Belanjawan rapatkan jurang digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dana RM9.4 bilion untuk membangunkan strategi digital nasional dalam Belanjawan 2021 diyakini dapat merapatkan jurang digital dan menyediakan infrastruktur telekomunikasi yang lebih baik.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkata, inisiatif tersebut akan dijalankan melalui Program Jaringan Prihatin dan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

“Program Jaringan Prihatin yang menelan belanja RM1.5 bilion akan dapat dimanfaatkan oleh lapan juta golongan B40. Mereka akan menerima RM180 seorang yang boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan internet atau menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu.

“Di bawah Jendela, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM500 juta bagi 2021 bertujuan untuk memastikan kesalinghubungan 430 buah sekolah di seluruh negara meliputi semua negeri bagi pembangunan generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut SKMM, fasa satu Jendela telah bermula dan akan berterusan sehingga akhir 2022. Ia memberi fokus kepada usaha memperluas akses jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit kepada 7.5 juta premis serta melebarkan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus kawasan berpenduduk.

“(Ia turut) mempertingkat kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25mbps kepada 35mbps serta melibatkan penamatan rangkaian 3G secara berperingkat sehingga akhir 2021 untuk pemantapan rangkaian 4G selaras dengan memperkukuh rangkaian asas bagi 4G.

“Sementara fasa dua pula akan selaras dengan perancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya.

Selain itu, sejumlah RM42 juta juga turut diperuntukkan melalui Jendela bagi menambah baik kesalinghubungan internet di 25 kawasan perindustrian untuk meningkatkan daya tarik pelaburan.

Di pihak SKMM, mereka memperuntukkan RM7.4 bilion untuk 2021 dan 2022 bagi memperluas perkhidmatan jalur lebar terutamanya di kawasan luar bandar.

“Pihak industri juga akan membuat pelaburan yang setanding atau lebih untuk kawasan bandar dan pinggir bandar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN