KUALA LUMPUR: Berbanding sebuah belanjawan yang meluas, kerajaan memutuskan untuk menyusun perbelanjaan yang berfokus dan bersasar seperti yang ditonjolkan dalam Belanjawan 2021 yang dibentang Jumaat lalu.
Keputusan itu disambut baik AmBank Group (AmBank) yang menyifatkan belanjawan tersebut memenuhi keperluan mewujudkan langkah mitigasi untuk mengurus impak berterusan pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, saranan supaya institusi kewangan, terutamanya bank untuk menyediakan bantuan dan perhatian khusus kepada peminjam dalam kalangan B40 serta syarikat mikro adalah tepat dan sangat diperlukan.
Sehingga hari ini, AmBank telah meluluskan hampir 100 peratus permohonan bantuan bayaran balik untuk pinjaman dan kemudahan lain, dengan jumlah lebih RM11 bilion untuk individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Fleksibiliti untuk mengeluarkan RM500 setiap bulan selama setahun dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membolehkan mereka yang menghadapi waktu-waktu sukar untuk mendapatkan wang dalam tangan.
“Lebih penting lagi, ia jelas hanya untuk mereka yang kehilangan pekerjaan kerana kita masih perlu keperluan semasa yang mendesak dengan kestabilan kewangan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, Sulaiman melihat peruntukan RM1 bilion sebagai insentif untuk teknologi dan pelaburan bernilai tinggi serta RM500 juta untuk Dana Teknologi Tinggi daripada Bank Negara Malaysia (BNM) adalah penting kerana ia membolehkan perniagaan tempatan menjadi lebih kompetitif di arena global, selain menyumbang terhadap keseluruhan rantaian bekalan.
“Kami juga gembira melihat pelaksanaan projek yang mampu menjana kesan berganda yang kuat dan positif kepada ekonomi negara. Ini termasuk peruntukan RM2.5 bilion oleh kerajaan untuk kontraktor untuk kerja-kerja penyelenggaraan, RM2.7 bilion untuk pembinaan infrastruktur luar bandar serta RM15 bilion untuk projek-projek pengangkutan.
“Kami percaya langkah ini akan meningkatkan keyakinan perniagaan dan pengguna serta menyelesaikan isu aliran tunai,” katanya. – UTUSAN