KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Bina Darulaman Berhad (BDB), BDB Land Sdn. Bhd. telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Lagenda Properties Bhd. (LPB) untuk pembangunan perbandaran mampu milik, Darulaman Putra di Sungai Petani, Kedah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM550 juta.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Faris Najhan Hashim berkata, pemeteraian MoU tersebut merupakan usaha yang sedang dijalankan BDB Land untuk membangunkan rumah mampu milik di kawasan seluas 59.89 hektar itu.
Beliau berkata, BDB Land dan LPB juga akan meneroka peluang membangunkan kawasan seluas 33.18 hektar di kawasan sama dengan menumpukan kepada pembangunan komersial sekali gus memberi nilai tambah kepada perbandaran mampu milik berkenaan.
“LPB merupakan syarikat pemaju hartanah yang berpengalaman dalam membangunkan perbandaran mampu milik dan ia terbukti dengan kejayaan pembangunan Bandar Baru Setia Awan Perdana di Setiawan dan Lagenda Teluk Intan di Perak.
“Darulaman Putra merupakan perbandaran pertama seumpamanya yang bakal dibangunkan oleh BDB Land bagi memenuhi sasaran pasaran hartanah pada harga jualan RM350,000 dan ke bawah.
“Sudah pasti dengan pengalaman luas yang dimiliki oleh LPB dalam membangunkan perbandaran mampu milik dapat dimanfaatkan untuk pembangunan kediaman khusus untuk golongan berpendapatan rendah (B40) dan juga golongan berpendapatan sederhana (M40) di Kedah,” katanya dalam kenyataan.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Pengarah BDB Land, Mohd. Iskandar Dzulkarnain Ramli dan Pengarah Urusan LPB, Datuk Doh Jee Ming sambil disaksikan oleh Faris Najhan; Ketua Anak Syarikat Divisyen Hartanah BDB, Zawawi Wahab serta Pengurus Pelaburan dan Kewangan Korporat LPB, Jasrinderjit Singh Dhillon.
Pembangunan perbandaran Darulaman Putra akan dibangunkan dalam tempoh lima tahun merangkumi unit kediaman mampu milik, bangunan komersial di samping dilengkapi pusat komuniti.
Tambah Faris Najhan, sentimen segmen hartanah masa kini sememangnya terarah kepada pembangunan rumah mampu milik dan merupakan pasaran yang akan diteroka oleh BDB Land pada masa hadapan. – UTUSAN