Bajet 2021 fokus pembangunan ekonomi belia - Utusan Malaysia

Bajet 2021 fokus pembangunan ekonomi belia

Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan pada 6 November ini diharapkan dapat memberi fokus lebih menyeluruh terhadap kepentingan membantu  golongan belia di seluruh negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dari aspek sosio-ekonomi.

Belanjawan  dibentangkan sebaiknya memberikan keutamaan kepada golongan belia memandangkan peranan mereka amat penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Peranan meningkatkan kedudukan belia terutama dari aspek ekonomi diperlihatkan menerusi pembabitan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi kerjasama rentas kementerian untuk terus membantu golongan belia terutama yang berniaga.

KBS adalah antara 14 Kementerian terbabit sama dalam melaksana program keusahawanan bagi memberikan bimbingan dan sokongan strategik menyokong belia dalam ekosistem ekonomi pasca COVID-19.

Usaha membantu melonjakkan ekonomi belia berniaga itu dilakukan menerusi kepelbagaian inisiatif antaranya Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pakej Prihatin PKS Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej KITA Prihatin.

Inisiatif itu memanfaatkan hampir 308,668 belia berniaga membabitkan peruntukan lebih RM1.1 bilion.

Perkara itu turut disokong Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata belanjawan dapat menggerak ekonomi menerusi bantuan kewangan terutamanya golongan berpendapatan sederhana (B40), belia dan mahasiswa serta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, bantuan kewangan lebih inklusif dapat di peruntukan dalam belanjawan 2021 membabitkan peluang perniagaan, kemahiran dan bimbingan lebih inklusif.

“Peruntukan lebih banyak menerusi bantuan kewangan khas bagi belia, mahasiswa dan pelajar IPT dapat dimanfaatkan bagi memajukan kedudukan golongan ini sebagai penyambung ekonomi.

“Kesan pandemik melanda negara memperlihatkan situasi di mana ramai belia kehilangan kerja dan sumber pendapatan bahkan perkara ini akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

“Pada pandangan saya inisiatif diketengahkan kerajaan dan agensi membolehkan belia lebih bersedia dan melahirkan generasi hebat dan canggih,” katanya, ketika dihubungi, di sini, baru-baru ini.

Katanya, Skim Perantisan Nasional (SPN) diketengahkan KBS nescaya memberikan manfaat kepada pembangunan dan menaik taraf kehidupan belia menerusi pelbagai inisiatif.

“Skim ini adalah usaha KBS yang disambut baik oleh golongan belia dan mahasiswa malahan ia seharusnya kekal dilaksanakan dan diberi peruntukan yang lebih baik.

“Selain itu, belanjawan pada kali ini seharusnya boleh mengambil kira peruntukan untuk dana pemula bagi golongan belia yang mahu berjinak-jinak dalam perniagaan kecil dan sederhana (PKS), pertanian, gig ekonomi dan kegiatan ekonomi moden yang lain.

“Kerjasama yang diberikan oleh pelbagai pihak kerajaan dan agensi bersama pembabitan KBS secara langsung dapat memainkan peranan untuk menggerakkan dan memulihkan ekonomi negara,”katanya.

Abang Mohd Hafizie Abang Bunsu

Sementara itu, Naib Presiden (Pembangunan Kepimpinan) Persatuan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Malaysia (PIMPIN), Abang Mohd Hafizie Abang Bunsu turut menyokong perkara itu.

Katanya, inisiatif kerjasama rentas kementerian antara KBS dengan 14  kementerian lain perlu lebih menyeluruh bagi membolehkan pelan rangkaan membantu serta melonjakkan semula sektor ekonomi dalam kalangan belia berniaga.

“Inisiatif dan program diketengahkan dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan, pekerjaan; penciptaan pekerjaan; latihan dan kemahiran serta dana dengan kemudahan ditawarkan atau dilaksanakan oleh pelbagai agensi.

“Diharapkan juga kerajaan dapat memberikan suntikan bajet lebih besar untuk belia supaya program kemahiran dan bimbingan ekonomi dapat dipelbagaikan menerusi SPN.

“Usaha ini dapat mengurangkan kadar pengangguran dan kemungkinan peningkatan jumlah belia yang muflis akibat kemerosotan ekonomi pasca pandemik COVID-19,” katanya.

Selain itu, katanya, belia negara ini turut sama berperanan dan menyumbang kepada proses pembinaan dan pembangunan negarameliputi segala aspek baik dari segi politik, ekonomi, sosial, budaya atau pendidikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya