KUALA LUMPUR: Satu strategi berkesan perlu digubal bagi mengatasi ketidakseimbangan tenaga kerja antara sektor-sektor ekonomi negara.
Inisiatif tersebut dicadangkan Pengerusi Khazanah Research Institute (KRI), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang turut berpendapat landskap ekonomi global dan domestik diramal berubah dengan lebih radikal dalam jangka masa sederhana sekali gus memberi impak terhadap pasaran buruh di Malaysia dengan lebihan pekerja di sesetengah sektor akibat ekonomi yang terjejas.
Beliau berkata, lebihan buruh itu tidak terhad kepada pekerja yang diberhentikan atau menganggur tetapi juga melibatkan mereka yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji, dikurangkan jam bekerja, dipotong gaji dan golongan bekerja sendiri yang tiba-tiba hilang mata pencarian.
Menurut Nor Mohamed, permintaan tenaga kerja terhadap beberapa sektor seperti makanan, e-dagang, khidmat logistik dan penghantaran, khidmat pembersihan dan pembasmian kuman, teknologi digital, internet dan komunikasi telah meningkat ekoran penularan pandemik Covid-19.
“Lebihan tenaga kerja perlu disalurkan kepada sektor yang mengalami kenaikan permintaan pekerja secara mendadak dengan menyelaraskan maklumat permintaan tenaga kerja yang terkumpul di pangkalan data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) agar dapat dipadankan dengan maklumat penawaran.
“Dasar pasaran buruh aktif perlu dilancarkan bagi mengatasi ketidaksepadanan kemahiran pekerja di sektor asal kepada sektor baharu dengan latihan peningkatan kemahiran, kemahiran semula dan kemahiran silang yang ditawarkan pelbagai agensi perlu digerakkan secara intensif bagi memenuhi keperluan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat maya mengenai penerbitan laporan berkala KRI – ‘Work in an Evolving Malaysia: The State of Households 2020 Part II’, hari ini.
Dalam masa yang sama, menurut Nor Mohamed, krisis Covid-19 telah mendedahkan kelompongan dalam beberapa sektor penting yang perlu dimantapkan termasuk jaminan sektor kesihatan dan perubatan mempunyai kapasiti mencukupi dalam menghadapi wabak berskala besar pada masa hadapan di samping memperkemas rantaian bekalan bagi sektor pertanian dan makanan.
Katanya, sektor pendidikan pula perlu bersedia menjalankan pengajaran dan pembelajaran melalui internet tanpa melibatkan pertemuan dalam kelas biasa selain mengukuhkan kualiti jalur lebar dan membangunkan kandungan pelajaran dalam bentuk digital.
Dalam jangka masa pendek dan sederhana, kata Nor Mohamed, keutamaan yang perlu diberi perhatian ialah memastikan ketahapsediaan dan kemampuan sektor-sektor berkenaan menghadapi krisis yang serupa pada masa hadapan yang mungkin akan timbul dengan lebih kerap serta menyalurkan lebihan tenaga kerja ke sektor penting itu.
“Seperti krisis lain, kejutan yang dibawa Covid-19 memberi kesan negatif kepada beberapa sektor tanpa belas kasihan dengan sektor pelancongan, perhotelan, penerbangan dan temasya sukan contohnya hampir lumpuh.
“Dalam situasi ini, pelaburan awam menjadi penting dalam memacu pertumbuhan melalui sumber ekonomi baharu bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti.
“Inilah masa yang paling sesuai untuk membangunkan sektor strategik seperti teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui, sektor penjagaan dan memperluas ekosistem digital ekonomi,” katanya. – UTUSAN