KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2020 untuk dana unit amanah harga berubah, ASN Imbang 1 berjumlah RM40.57 juta.
Jumlah agihan tersebut adalah bersamaan 3.32 sen seunit dan akan dibayar kepada 46,156 pemegang unit dengan pelaburan berjumlah 1.22 bilion unit.
Berdasarkan jangkaan Nilai Aset Bersih (NAB) dana pada 30 November, kadar hasil dividen tersebut adalah sebanyak 3.60 peratus.
Menurut syarikat pemilik ASNB, Permodalan Nasional Berhad (PNB), pengiraan pendapatan bagi ASN Imbang 1 adalah berdasarkan unit yang dipegang dan NAB setakat 30 November.
“Pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun mereka pada 1 Disember,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Dalam pada itu, menurut PNB, peningkatan Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) memberi berita baik buat syarikat itu yang sentiasa komited dalam usaha memberikan pulangan yang kompetitif dan perkhidmatan terbaik kepada pemegang unit dalam mengharungi wabak Covid-19.
“Indeks FBM KLCI meningkat sebanyak 3.23 peratus untuk tahun kewangan semasa setakat 26 November, daripada 1,561.73 mata kepada 1,612.11 mata dalam tempoh yang sama. Peningkatan itu walaupun sedikit adalah perkembangan yang baik buat PNB.
“PNB telah melaksanakan beberapa strategi untuk meningkatkan portfolio pelaburan dengan mempelbagaikan portfolio dalam ekuiti antarabangsa dan memberi fokus kepada sektor yang kurang rentan terhadap persekitaran ekonomi semasa,” katanya.
Untuk memberi ruang kepada pengiraan pengagihan pendapatan, urus niaga di semua cawangan ASNB dan ejen seluruh negara telah ditangguhkan buat sementara waktu bermula 27 November sehingga semalam.
PNB menasihatkan pemegang unit supaya mengemas kini akaun mereka di portal myASNB di www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada esok (hari ini). – UTUSAN