KUALA LUMPUR: AirAsia Malaysia menawarkan e-baucar bernilai RM50 kepada 24,000 pelancong domestik bagi menyambut usaha kerajaan memacu pelancongan domestik.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Riad Asmat berkata, ia turut dapat membantu menjana pendapatan perniagaan berkaitan dengan pelancongan seperti hotel, restoran, pengendali pelancongan dan sebagainya.
“E-baucar tersebut boleh ditebus di laman web kami, airasia.com tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kata beliau, inisiatif itu adalah tanda sokongan AirAsia terhadap usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang mengumumkan Pakej Rangsangan dan Pelan Pemulihan terperinci untuk sektor pelancongan baru-baru ini.
Usaha kementerian itu diyakini dapat menghidupkan kembali ekonomi negara melalui pelancongan domestik yang melibatkan kempen Cuti-Cuti Malaysia dengan kerjasama pemain industri pelancongan.
AirAsia meminta orang ramai untuk mengikuti perkembangan inisiatif tersebut melalui media sosial mereka di Twitter (twitter.com/airasia), Facebook (facebook.com/airasia) dan Instagram (instagram.com/airasia) untuk maklumat-maklumat terkini. – UTUSAN