AirAsia kaji pelaburan dalam AirAsia India - Utusan Malaysia

AirAsia kaji pelaburan dalam AirAsia India

Keputusan itu dilakukan kerana AirAsia India mengalami masalah aliran tunai sehingga menyebabkan tekanan kewangan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd. dilaporkan akan mengkaji semula pelaburannya dalam syarikat penerba­ngan tambang murah, AirAsia India.

Keputusan itu dilakukan kerana AirAsia India mengalami masalah aliran tunai sehingga menyebabkan tekanan kewangan.

Menurut The Edge Markets yang memetik akhbar harian berbahasa Inggeris India iaitu The Hindu minggu lalu me­laporkan, AirAsia telah menya­takan kebimbangan mengenai perniagaan cabangnya di Jepun dan India.

Laporan tersebut turut menyebutkan bahawa AirAsia India yang merupakan syarikat kerjasama antara AirAsia Investment Ltd. dan Tata Sons yang memulakan operasi lebih enam tahun lalu telah lama mengalami masalah kewa­ngan.

The Hindu turut memetik Presiden (Syarikat Penerbangan) AirAsia Group, Bo Lingam sebagai berkata, perniagaan syarikat tersebut di Jepun dan India berdepan masalah aliran tunai sekali gus menyebabkan Kumpulan itu mengalami tekanan kewangan.

“Kawalan kos dan pengurangan perbelanjaan terus menjadi keutamaan terutama selepas penutupan AirAsia Japan baru-baru ini dan mengkaji semula pelaburan kami di AirAsia India,” katanya seperti yang dipetik The Edge Markets.

Laporan itu turut mengatakan statistik operasi suku ketiga AirAsia jelas menunjukkan pemulihan pantas sedang dilaksanakan.

“Terdapat peningkatan ku­kuh daripada semua syarikat penerbangan utama domestik dalam Kumpulan merentasi banyak metrik utama berbanding suku sebelum ini.

“Ini termasuk peningkatan 36 peratus jumlah penumpang oleh AirAsia Malaysia, 79 peratus oleh AirAsia India dan 65 peratus penumpang di bawa AirAsia Thailand,” katanya.

Walau bagaimanapun The Hindu melaporkan jurucakap AirAsia India dan Tata Sons enggan mengulas berhubung perkara tersebut.

AirAsia India yang berpangkalan di Bengaluru, India terbang ke 19 destinasi seluruh India mula beroperasi pada 12 Jun 2014 dan mempunyai 31 pesawat Airbus A320. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN