AIBIM akan bantu mudahkan proses kelulusan pelanggan bagi inisiatif Belanjawan 2021 - Utusan Malaysia

AIBIM akan bantu mudahkan proses kelulusan pelanggan bagi inisiatif Belanjawan 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Ins­titusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) menyatakan kesediaan dan memberi sepenuh keyakinan kepada pelanggan untuk memudahkan proses kelulusan bagi inisiatif yang telah diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2021.

AIBIM dalam kenyataan memberitahu, pelanggan institusi perbankan Islam boleh menghubungi bank masing-masing untuk membuat permohonan bantuan pembayaran bersasar bermula 23 November ini sehingga 30 Jun 2021.

Dalam masa yang sama, AIBIM turut menasihati orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi memutuskan rantaian Covid-19 dan memastikan semua komunikasi serta transaksi perbankan adalah daripada dan melalui sumber yang sah.

Presiden AIBIM, Datuk Adissadikin Ali juga menasihatkan pelanggan untuk membuat pertimbangan teliti sebelum memuktamadkan pilihan.

“Ini bagi memastikan pelanggan yang terkesan dapat merancang kewangan dengan lebih teratur mengikut situasi kewangan masing-masing,” katanya dalam kenyataan sama.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021, Jumaat lalu mengumumkan penambahbaikan dalam bantuan pembayaran bersasar khususnya kepada individu berpendapatan rendah (B40) yang merupakan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bakal penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Selain itu, perusahaan mikro turut memperoleh manfaat menerusi jumlah pembiayaan yang diluluskan sehingga RM150,000.

Pelanggan juga mempunyai dua pilihan untuk bantuan pembayaran bersasar sama ada menangguhkan ansuran bulanan selama tiga bulan atau mengurangkan ansuran bulanan seba­nyak 50 peratus selama enam bulan.

Menurut AIBIM, bantuan tersebut akan disediakan bagi pembiayaan kemudahan yang diluluskan sebelum 1 Oktober lalu dan tidak tertunggak melebihi 90 hari pada tarikh permohonan bantuan dilakukan dengan pelanggan hanya perlu menghubungi bank untuk mengesahkan pilihan tanpa dokumentasi tambahan.

AIBIM berkata, pelanggan daripada kumpulan berpendapatan sederhana (M40) yang berdaftar dalam pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional (BPN) juga hanya perlu membuat pengisytiharan kendiri tentang pengurangan pendapatan dan atau isi rumah akibat pandemik Covid-19 untuk mendapatkan bantuan pengurangan ansuran bulanan.

“Walau bagaimanapun, bagi pembiayaan berkadar tetap, pe­langgan institusi perbankan Islam masih perlu menandatangani kontrak baharu menurut keperluan syariah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya