Top Glove sasar raih IPO RM4 bilion di Hong Kong - Utusan Malaysia

Top Glove sasar raih IPO RM4 bilion di Hong Kong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Corporation Bhd. sedang mempertimbangkan untuk memperoleh AS$1 bilion (RM4.14 bilion) tawaran awam permulaan (IPO) menerusi penyenaraian di Hong Kong.

Menurut laporan Bloomberg yang memetik sumber, Top Glove sedang bekerjasama dengan penasihat mengenai kemungkinan penjualan saham di Hong Kong.

Data yang dikumpulkan Bloomberg mendapati, sekiranya perkara itu berlaku, penyenaraian Top Glove pada jumlah AS$1 bilion itu merupakan penyenaraian syarikat Malaysia terbesar di Hong Kong.

Pihak itu berkata, perbincangan rapi sedang diadakan dan perincian mengenai penawaran termasuk peningkatan saiz bergantung kepada maklum balas pelabur.

Top Glove dalam satu kenyataan mengesahkan sedang menilai penyenaraian utama berganda di Hong Kong tetapi tidak memberi perincian mengenai penawaran tersebut.

“Cadangan penyenaraian di Hong Kong sekiranya diteruskan akan membolehkan Top Glove membuat kemunculan di bursa saham yang lebih besar, aktif dan cair,” kata syarikat itu dalam kenyataan.

Top Glove memberitahu penyenaraian itu juga akan mempelbagaikan asas pelabur Top Glove dan menyediakan platform pengumpulan dana lebih besar untuk menyokong pertumbuhannya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai dalam taklimat kepada pemberita bulan lalu memaklumkan syarikat itu sedang berbincang dengan bank mengenai cara terbaik untuk disenaraikan di Hong Kong dengan prosesnya akan memakan masa enam hingga sembilan bulan.

Saham Top Glove melonjak lebih 460 peratus tahun ini di Malaysia dipacu oleh permintaan terhadap alat perlindungan perubatan akibat pandemik Covid-19 sekali gus mengatasi indeks penanda aras negara yang jatuh sekitar 4.4 peratus tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya