Singapura, UAE minat jadikan Johor hab bekalan makanan - Utusan Malaysia

Singapura, UAE minat jadikan Johor hab bekalan makanan

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menunjukkan minat mereka untuk menjadikan Johor sebagai hab pembekal makanan utama mereka pada masa depan. 

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, sehubungan itu pihaknya telah memulakan langkah perbincangan berhubung perkara tersebut dengan kedua-dua negara terbabit. 

Katanya, langkah itu secara langsung bakal membuka peluang baharu kepada pemain industri makanan di negeri ini. 

“Singapura dan UAE sedang memberi tumpuan untuk memastikan jaminan bekalan buat negara mereka dan pastinya melihat pada lokasi Johor, kita adalah pilihan terbaik khususnya bagi Singapura. 

“Dengan persetujuan kedua-dua negara itu, ia akan membuka banyak peluang baharu kepada mereka yang terlibat dengan industri makanan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Sains Tanah Malaysia di sini hari ini. 

Tambah Hasni, namun sebelum itu Johor perlu mengukuhkan perancangan berhubung jaminan bekalan makanan bukan sahaja buat Malaysia, tetapi juga negara jiran. 

“Ini kerana ketika ini, Singapura sudahpun mengimport produk makanan dari Johor melebihi RM500 juta setiap bulan. 

“Lokasi Johor yang strategik merupakan destinasi pilihan bukan sahaja untuk pembekalan makanan, tetapi juga sektor hartanah, pembuatan dan perkhidmatan,” ujarnya. 

Menurut Hasni, menyedari kepentingan jaminan bekalan makanan, kerajaan negeri telah mengumumkan inisiatif itu sebagai salah satu komponen dalam pelaksanaan Tujuh Ikhtiar Makmur Johor. 

Beliau berkata, inisiatif itu akan memberi manfaat kepada pengeluar produk agrikultur, penternak, petani, nelayan, pengguna dan semua pihak yang terlibat dalam rangkaian sektor makanan sama ada untuk pasaran tempatan mahupun antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya