KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November ini seharusnya mengutamakan sektor perniagaan yang terjejas teruk akibat penularan pandemik Covid-19.
Dalam masa yang sama, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro dan nano serta kategori rakyat berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) juga sewajarnya diberi perhatian khusus bagi menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi.
Menurut Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid, sektor perniagaan yang menerima impak kuat seperti pelancongan, pengangkutan, pendidikan dan kesihatan amat memerlukan suntikan dana untuk kembali pulih.
Dalam masa yang sama, Baharom berkata, kerajaan juga perlu mempunyai mekanisme pemantauan untuk mengenal pasti impak yang wujud hasil peruntukan belanjawan.
“Peruntukan sektor bersasar mungkin akan dilakukan dalam Belanjawan 2021, ia mungkin sangat berbeza dengan belanjawan terdahulu.
“Namun, penyaluran dana dan impak yang wujud menerusi suntikan setiap inisiatif perlu ada unjuran dan didokumentasikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baharom berkata, pertimbangan khas kepada warga emas juga amat diperlukan memandangkan Malaysia sedang berada dalam fasa negara tua.
“Dengan budaya simpanan rakyat Malaysia yang diketahui masih belum mencukupi dan peningkatan perbelanjaan dalam kesihatan, mereka amat memerlukan apa sahaja bantuan,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan juga memerlukan sumber kewangan bagi segala perbelanjaan selepas memperuntukkan sejumlah besar dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).
“Kedudukan kewangan kerajaan semakin berkurang terutama dengan kurangnya kutipan cukai dan sasaran dividen Petronas.
“Melainkan ada peningkatan cukai, pengenalan cukai baharu atau pengenalan semula cukai sebelum ini seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), saya tidak melihat peruntukan bajet yang sangat besar,” katanya. – UTUSAN