Seameq perintis keropok segera - Utusan Malaysia

Seameq perintis keropok segera

NURFARZANA Tajul Arifin bersama kakitangan Maperow menunjukkan produk Seameq keluaran syarikatnya di Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/ PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INSPIRASI NIAGA

KUALA NERUS: Keropok ikan segera, Seameq bukan jenama asing dalam kalangan mereka yang berkunjung ke Terengganu, malah kudapan ini menjadi antara makanan tradisi tempatan yang wajib dibawa pulang sebagai buah tangan kepada sanak saudara dan rakan taulan.

Produk keluaran syarikat Maperow Sdn. Bhd. (Maperow) ini berjaya mencipta kelainan tersendiri dengan identiti sos yang terdapat dalam bungkusan keropok sekali gus memberi nilai tambah hingga memboleh­kan Seameq dikenali di seluruh Malaysia.

Pengurus Pemasaran Maperow, Nurfarzana Tajul Arifin berkata, keropok ikan segera itu mula diperkenalkan pada 2010 dan pada peringkat awal, fokus pasaran hanya tertumpu bagi dijadikan cenderahati di majlis-majlis perkahwinan sekitar nege­ri ini.

Katanya, susulan permintaan yang luar biasa, Seameq kemudian memasuki pasaran kedai-kedai termasuk di Pasar Besar Kedai Payang (kini Pasar Payang 2) dan hingga kini berjaya melebarkan sayap ke tujuh pasar raya iaitu Mydin, Tesco, Giant, ST Rosyam Mart, Malakat Mall, Hospimart Shoppe serta Ikhwan di samping ke luar negara.

Katanya, perniagaan keropok ikan segera itu merupakan satu daripada empat cabang perniagaan yang diusahakan bapanya, Tajul Arifin Mohd. Rashid, 60, bersama ibunya, Wan Azizah Wan Hassan, 55.

“Dengan berbekalkan modal RM500, ayah membuka kedai menjual ikan secara kecil-kecil­an pada 1982 sebelum dikembangkan kepada perusahaan isi ikan pada 2000 dan selang lapan tahun, dia menceburi pula perniagaan keropok iaitu lekor dan keping.

“Penghasilan Seameq tercetus kerana mereka mahu mengkomersialkan keropok segera supaya mudah dimakan sesiapa sahaja memandangkan keba­nyakan produk sedia ada di pasaran pada masa itu saiznya tebal dan keras di samping sudah disi­ra dengan cili.

“Daripada situ timbul idea untuk menghasilkan keropok yang lebih nipis dan rangup dengan turut menyediakan sos cili dalam bekas kecil, jadi semua peringkat umur termasuk kanak-kanak boleh menikmati keropok Seameq,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Nurfarzana, ketika ini terdapat enam jenis keropok Seameq di pasaran iaitu perisa asli di samping keju, lada hitam, bbq, kari dan bawang putih dengan harga antara RM1.50 ke 2.50 sebungkus di samping produk terbaharu, keropok mini berperi­sa telur masin.

Seperti peniaga lain, katanya, Maperow turut terkesan de­ngan situasi pandemik Covid-19 dengan hasil jualan yang dicapai kini kira-kira RM20 juta berbanding RM40 juta yang disa­sarkan hingga akhir tahun.

Sementara itu, mengulas mengenai pesaing katanya, perkara itu tidak terlalu difikirkan kerana keutamaan adalah terhadap kualiti produk dan kepuasan pelanggan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya