Robinsons tutup operasi di Malaysia - Utusan Malaysia

Robinsons tutup operasi di Malaysia

Keputusan terpaksa diambil susulan berdepan banyak cabaran dalam industri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Robinson Co. (Malaya) Sdn. Bhd. (Robinsons) memulakan proses penutupan dua buah kedai yang terletak di The Gardens Mall dan di Four Seasons Place berikutan tidak dapat meneruskan operasi kerana permintaan yang lemah.

Syarikat itu dalam kenyataan memaklumkan telah melantik Datuk Robert Teo Keng Tuan daripada RSM Malaysia sebagai pelikuidasi sementara.

Pada masa sama, kedai Robinsons di Singapura yang terletak di The Heeren dan Raffles City Shopping Center juga akan me­laksanakan proses pembubaran yang serupa dengan pelantikan Cameron Duncan dan David Kim dari KordaMentha sebagai pelikuidasi sementara.

Jelasnya, pelikuidasi akan mengawal aset syarikat dan menilai pilihan untuk merealisasikan nilai agar dapat memaksimumkan pulangan kepada pemiutang.

Tertakluk kepada pengesahan, pelikuidasi berharap kedai akan terus dibuka untuk beberapa minggu lagi untuk memudahkan penjualan akhir kepada pelanggan sebelum ditutup.

Pengurus Besar Kanan Ro­binsons, Danny Lim berkata, pihaknya kesal dengan keputusan yang terpaksa diambil itu susulan berdepan banyak cabaran dalam industri mengejar kejayaan jenama itu.

“Walau bagaimanapun, perubahan landskap pengguna menyukarkan kami untuk berjaya dalam jangka panjang dan pandemik Covid-19 semakin memburukkan lagi cabaran yang dilalui.

“Kami telah mengecapi kejayaan beberapa tahun lalu dan merupakan satu penghargaan bagi Robinsons untuk terus berada dalam pasaran Malaysia. Saya berterima kasih di atas dedikasi pasukan kami dan sokongan yang ditunjukkan oleh pelanggan selama kami beroperasi,” katanya dalam ke­nyataan semalam.

Dalam pada itu, kakitangan Robinsons jelasnya, telah dimaklumkan oleh pengurusan dan pelikuidasi sementara me­ngenai perkara berkenaan.

Mereka telah diberi jaminan bahawa pelikuidasi akan ber­usaha memaksimumkan pula­ngan kepada pemiutang, termasuk pekerja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN