Rakyat berpuas hati pakej rangsangan ekonomi - Utusan Malaysia

Rakyat berpuas hati pakej rangsangan ekonomi

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih 80 peratus rakyat berpuas hati dengan Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) melalui kaji selidik yang dijalankan Unit Laksana antara 19 Ogos dan 22 September lalu.

Daripada jumlah tersebut, 55 peratus menyatakan tahap kepu­asan yang tinggi dan 26 peratus pada tahap kepuasan biasa.

Kajian tersebut bertujuan mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai impak pelaksanaan Pakej Prihatin kepada mereka.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah tersebut adalah antara usaha kerajaan untuk mendengar suara rakyat secara berterusan, dan hasil dapatan kaji selidik akan digunakan bagi merangka usaha-usaha pemulihan ekonomi, termasuk Belanjawan 2021 yang bakal diumumkan November nanti.

“Alhamdulillah, lebih 11,000 respons telah diterima daripada rakyat. Ini termasuk sesi turun padang yang telah dilaksanakan oleh pasukan Laksana ke lebih 10 lokasi seluruh negara terma­suk Kuala Lumpur, Cyberjaya, Melaka, dan Kuala Terengganu.

“Mereka berjumpa dengan kumpulan sasar yang dikate­gorikan sebagai ‘menghadapi masalah’ (distressed) merentasi golongan pendapatan B40, M40 dan T20. Ini termasuk individu yang menganggur, bekerja sendiri atau merupakan pemilik perniagaan dan usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Laksana Ke-25 pelaksanaan Pakej Prihatin dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) secara maya, semalam.

Ujarnya, daripada kesemua langkah di bawah Prihatin, tiga bantuan utama yang diterima atau dimanfaatkan responden adalah Bantuan Prihatin Nasional (BPN), internet percuma dan diskaun elektrik.

“Bagi bantuan secara bersekali sahaja antara bantuan yang menerima kepuasan ter­tinggi ialah BPN iaitu sebanyak 68 peratus manakala MySalam 66 peratus.

“Bagi bantuan yang dilaksanakan antara tiga hingga enam bulan pula, kepuasan ter­tinggi direkodkan bagi Program Pengekalan Pekerja sebanyak 70 peratus diikuti moratorium PTPTN 69 peratus, elaun untuk barisan hadapan 69 peratus dan moratorium pinjaman bank automatik serta diskaun elektrik, kedua-duanya 67 peratus.

“Pelaksanaan pemberian internet percuma 1GB pula pada tahap kepuasan 65 peratus,” katanya.

Bagi bantuan bersifat jangka masa panjang pula, Skim Persaraan Swasta dan pengurangan caruman KWSP mendapat tahap kepuasan tertinggi pada 69 peratus.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN