KUALA LUMPUR: Kios layan diri Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kedai Tenaga dalam kawasan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan beroperasi dari pukul 8.15 pagi sehingga 8 malam sehingga 27 Oktober ini.
Ini bermakna kios tersebut akan tutup operasi dua jam lebih awal, berbanding pada pukul 10 malam sebelum ini.
Sementara itu, menurut TNB, waktu operasi Kedai Tenaga masih kekal dari pukul 9 pagi sehingga 4 petang.
“Bagaimanapun, pengguna digalakkan untuk melakukan transaksi berkaitan TNB secara dalam talian menerusi portal dan aplikasi myTNB bagi mengurangkan keperluan untuk melakukan transaksi secara bersemuka.
“Aplikasi myTNB boleh dimuat turun di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
PKPB mula dilaksanakan di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 14 Oktober sehingga 27 Oktober ini.
Ia susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di kawasan tersebut. – UTUSAN