Penstrukturan semula hutang bantu AirAsia X pulih - Utusan Malaysia

Penstrukturan semula hutang bantu AirAsia X pulih

KESAN penuh ke atas penyata pendapatan dan kunci kira-kira Airasia X akan ditunjukkan dalam pengumuman Bursa Malaysia pada suku seterusnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cadangan pemulihan menyeluruh AirAsia X Bhd. termasuk penstrukturan semula hutang kira-kira RM63.5 bilion, dijangka mampu membantu syarikat itu pada masa hadapan.

Menurut MIDF Research dalam nota kajian, industri pe­nerbangan akan terus terkesan dengan impak peningkatan semula pandemik Covid-19.

Katanya, industri penerba­ngan akan mengambil masa yang panjang untuk kembali pulih dengan penumpang dijangka menunjukkan penurunan tinggi.

“Persekitaran operasi diburukkan lagi dengan kedudukan kewangan yang sedang dihadapi oleh AirAsia X.

“Apa yang berlaku sekarang adalah sama ada pemiutang AirAsia X menerima atau menolak cadangan pemulihan tersebut.

“Kami berpendapat mereka akan bersetuju dengan cadangan itu tetapi terpaksa berpuas hati untuk mendapatkan hanya sebahagian kecil modal yang dijangka dibayar semula dalam tempoh tiga tahun selepas penstrukturan dijalankan.

“Sekiranya cadangan itu ditolak, AirAsia X berpotensi me­mu­lakan proses pembubaran dengan pemiutang akan kehilangan segalanya terutama kepada pemberi pinjaman tanpa jaminan,” katanya dalam nota kajian semalam.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia kelmarin, unit penerbangan jarak jauh AirAsia Group Bhd. itu mengumumkan akan menstruktur semula kira-kira RM63.5 bilion hutang dan mengurangkan 90 peratus mo­dal syarikat.

Menurut AirAsia X, melaksanakan cadangan itu akan menjadi kunci kepada kelangsungan syarikat selain keupayaan untuk kekal beroperasi.

“Bagi mengelakkan pembu­baran dan membolehkan syarikat beroperasi semula, satu-satunya pilihan bagi AirAsia X adalah melaksanakan penstrukturan semula hutang dan korporat di samping mengemaskini model perniagaan untuk terselamat serta berjaya dalam jangka panjang.

“Berdasarkan kedudukan kewangan semasa dan tinjauan industri, Kumpulan tidak akan dapat memenuhi komitmen hutang dan kewangan lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya