TEMERLOH: Baru saja hendak bernafas semula, kini golongan peniaga dan penjaga kembali berasa bimbang serta takut ekoran peningkatan kes positif Covid-19 sejak kebelakangan ini.
Bagi golongan itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak boleh dilaksanakan semula kerana ia menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Pengerusi Gabungan Peniaga dan Penjaja Melayu Malaysia (Gapema) Pahang, Rohani Mahat berkata, kira-kira 300 penjaja dan peniaga Melayu di setiap daerah di negeri menarik nafas lega apabila kembali berniaga setelah PKP berakhir.
“Namun, kita berasa bimbang kerana setelah baharu saja hendak bernafas semula, kes jangkitan pandemik Covid-19 meningkat.
“Kita harap semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi memastikan penularan wabak ini dapat dibendung, ramai pihak khususnya peniaga Melayu akan terjejas jika PKP kembali dilaksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Seorang peniaga kedai makan di Jerantut, Asmah Suhar berkata, ketika Covid-19 mula melanda fasa pertama banyak perniagaan terpaksa ditutup bagi mengelakkan penularan penyakit berbahaya itu.
“Ketika PKP hampir semua peniaga menghadapi tempoh sukar kerana hilang punca pendapatan manakala sewa premis perlu dijelaskan.
“Sekarang pun pelanggan semakin kurang kerana orang ramai berwaspada untuk keluar rumah kerana bimbang penularan Covid-19,” katanya.
Peniaga pakaian dari Temerloh, Mat Diah Abdul Rahman berkata, dia tidak sanggup lagi menempuh fasa PKP kerana selain hilang punca pendapatan ia boleh meningkatkan stres dan kemurungan. – UTUSAN