LONDON: Pengangguran akan menjadi kebimbangan terbesar dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi eksekutif perniagaan di seluruh dunia.
Dalam kajian dilakukan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) mendapati, kebimbangan lain adalah mengenai penyebaran penyakit berjangkit.
Kadar pengangguran telah melonjak naik disebabkan kawalan pergerakan dan sekatan lain bagi menangani pandemik Covid-19 dengan kebimbangan itu meningkat di negara yang telah mempunyai ramai penganggur.
“Gangguan terhadap pekerjaan adalah disebabkan pandemik, peningkatan penggunaan proses automasi dan peralihan kepada ekonomi hijau yang pada dasarnya merubah pasaran buruh.
“Apabila kita berjaya keluar daripada krisis, pemimpin mempunyai peluang besar untuk mencipta banyak pekerjaan, menyokong gaji kehidupan wajar dan jaringan keselamatan sosial untuk memenuhi cabaran pasaran buruh masa hadapan,” kata Pengarah Urusan WEF, Saadia Zahidi.
Tinjauan Risiko Melakukan Perniagaan Rantau terhadap 12,012 pemimpin perniagaan daripada 127 negara adalah satu daripada komponen laporan daya saing global WEF yang akan diterbitkan bulan hadapan.
Kajian tersebut meninjau pandangan responden mengenai 30 risiko secara keseluruhan dengan kebimbangan mengenai penyebaran penyakit berjangkit meningkat 28 anak tangga daripada tinjauan tahun lalu.
Krisis fiskal, serangan siber dan ketidakstabilan sosial yang mendalam adalah risiko ketiga, keempat dan kelima terbesar berdasarkan tinjauan berkenaan.
Menurut WEF, risiko perubahan iklim juga meningkat dalam senarai tersebut sementara kebimbangan mengenai serangan militan menurun.
Tinjauan itu telah dikeluarkan menjelang Sidang Kemuncak Jobs Reset pertama WEF akhir bulan ini.
Ia telah diterbitkan oleh WEF bersama Marsh & McLennan, SK Group dan Zurich Insurance. – AGENSI